Michael Clunan Boleh Diberi Peluang Untuk Tampil ?
- Luar Negara
- Mar 9, 2018
- No comment
Semenjak muncul idea tentang penggunaan pemain kacukan dalam skuad kebangsaan, ia mendapat persepsi yang pelbagai daripada peminat dan juga pemain bola sepak itu sendiri. Ada yang setuju dan ada juga yang tidak bersetuju dengan penggunaan pemain kacukan. Walau apapun, terdapat juga beberapa pemain kacukan yang berjaya tampil dalam skuad kebangsaan. Nama seperti Matthew Davies, Junior Eldstal, Kiko Insa dan Darren Lok mewarnai skuad kebangsaan pada empat tahun kebelakangan ini. Tetapi, ada seorang lagi pemain kacukan menurut kami boleh diberikan peluang untuk tampil bersama skuad kebangsaan. Pemain tersebut adalah Michael Clunan yang ketika ini bermain untuk pasukan King Lynn Town FC di Southern Football League Premier Division.
Michael Clunan mempunyai darah Malaysia melalui bapa beliau. Pemain tengah berusia 24 tahun ini diangkat sebagai ketua pasukan King Lynn Town FC bagi musim 2018. Setakat ini, Clunan berjaya mejaringkan 10 gol dalam saingan Southern Football League Premier Division. Satu jumlah jaringan yang cukup baik bagi seorang pemain tengah. Menariknya, Clunan juga pernah bermain bersama seorang lagi pemain kacukan Malaysia iaitu Jordan Yong. Jordan Yong pernah dikaitkan dengan pasukan Melaka United namun beliau gagal untuk menyertai pasukan Liga Super tersebut. Kami berpendapat pasukan Liga Malaysia boleh membawa masuk bekas graduan dari akademi Norwich City ini untuk bermain dalam Liga Malaysia.
Menurut kami, Clunan harus bermain dalam saingan Liga Malaysia terlebih dahulu jika beliau mahu mewakili skuad kebangsaan. Beliau harus membuktikan kepada peminat bola sepak Malaysia yang beliau mampu untuk bermain dengan baik dalam saingan Liga Malaysia sekaligus layak untuk mewakili skuad kebangsaan. Jika bermain di Southern Football League Premier Division saja kami rasa tidak cukup untuk membuktikan yang Clunan layak.
Jika Michael Clunan berjaya menembusi skuad kebangsaan, beliau bukan saja perlu bersaing dengan pemain tempatan seperti Nor Azam Azih, Syameer Kutty Abba dan Safiq Rahim, Clunan juga harus bersaing dengan pemain kacukan yang lain seperti Natxo Insa, Curran Ferns dan Stuart Wark bagi posisi pemain tengah. Kami melihat ini adalah satu persaingan yang baik dan juga sihat untuk pasukan kebangsaan.