Milik Siapakah Trofi Piala FA Ini?
- Piala FA
- Jul 7, 2018
- No comment
Hari yang ditunggu-tunggu oleh peminat pasukan Selangor dan Pahang akhirnya tiba apabila kedua-dua pasukan bakal berentap bagi memperebutkan trofi Piala FA edisi 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Kedua-dua pasukan mempunyai misi tersendiri pada perlawanan malam ini. Pahang mahu menebus kekecewaan tahun lalu dimana mereka tewas kepada Kedah pada perlawanan akhir sekaligus meraih kejuaraan ketiga dalam sejarah Piala FA.
Sementara pasukan Selangor pula mahu menamatkan kemarau 9 tahun tanpa memenangi Piala FA sejak kali terakhir memenanginya pada 2009 sekaligus mahu meraih kejuaraan keenam dan menjadi pasukan paling berjaya dalam sejarah kejohanan.
Apa yang pasti, kedua-dua pasukan bakal menurunkan kesebelasan terbaik mereka bagi memberikan cabaran kepada pihak lawan. Selangor mendapat khabar gembira dimana pemain pertahanan import mereka iaitu Willian Pacheco dilihat cergas untuk diturunkan selepas beliau mengikuti sesi latihan semalam.
Bagi pasukan bimbingan Dollah Salleh pula, mereka juga tidak mempunyai sebarang isu kecederaan namun penyerang import, Patrick Cruz berkemungkinan besar bakal diletakkan di bangku simpanan terlebih dahulu.
Apa yang pasti, malam ini kita akan disajikan dengan corak permainan yang menarik kerana kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan dan juga kebolehan yang tersendiri.
Walaupun dipalit dengan isu jualan tiket yang sedikit hambar, namun kami berpendapat perkara tersebut tidak akan menjejaskan corak pemainan kedua-dua pasukan. Pahang dan Selangor bakal mengeluarkan segala yang mereka ada untuk memenangi perlawanan malam ini.
Jika Selangor berjaya mengangkat trofi Piala FA malam ini, maka mereka bakal layak untuk bermain dalam peringkat kelayakkan bagi kejohanan Liga Juara-Juara Asia tahun hadapan. Sebaliknya buat Pahang, mereka tidak akan beraksi dalam peringkat kelayakkan Liga Juara-Juara Asia kerana penggantungan yang dikenakan oleh FAM ke atas mereka.
Apa pendapat anda mengenai perlawanan akhir Piala FA 2018 antara pasukan Selangor menentang pasukan Pahang di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini? Pasukan manakah yang bakal membawa pulang trofi Piala FA edisi kali ini?
Baca Juga: Nikmati, Bukan Jadi Penyebar Bemci