Mimpi Ngeri Menanti Malaysia – Chatchai Budprom
- Harimau Malaya
- Dec 4, 2018
- No comment
Perang psikologi sudah bermula menjelang perlawanan separuh akhir kedua saingan Piala AFF Suzuki 2018 diantara Malaysia menentang Thailand pada esok apabila penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom mengatakan pasukan negara bakal menghadapi mimpi ngeri.
Chatchai Budprom berkata demikian pada sidang media pra perlawanan yang diadakan di Bangkok, tengah hari tadi. Ketua jurulatih pasukan Thailand, Milovan Rajevac turut hadir dalam sidang media tersebut.
Chatchai mengakui perlawanan pertama di Bukit Jalil minggu lalu memberikan sedikit tekanan kepada pasukannya untuk menampilkan persembahan terbaik. Sokongan padu ditambah dengan sorakan daripada Ultras Malaya sepanjang perlawanan nyata membuatkan para pemain bergelut.
Namun, penjaga gol Chiangrai United ini yakin kesilapan minggu lalu tidak akan berulang dimana mereka akan beraksi di hadapan penyokong sendiri dan juga di gelaggang keramat mereka iaitu Stadium Rajamagala.
“Malaysia menunjukkan persembahan yang sangat baik dalam perlawanan pertama, menyukarkan kami dalam perlawanan pertama di laman mereka tetapi esok akan menjadi sebaliknya.
“Memandangkan mereka (Malaysia) telah tiba di Thailand, saya dapat jangkakan mereka sudah mengetahui apa yang mereka bakal hadapi pada hari esok.
“Atmosfera yang berbeza, penyokong yang berbeza dan juga tempat yang akan menyedarkan mereka berada di Thailand dimana semua orang memberikan sokongan kepada skuad Gajah Perang.
“Saya harapkan Malaysia dapatkan tidur yang nyenyak malam ini kerana hari esok bakal menjadi mimpi ngeri buat kamu. Saya amat yakin!” kata Chatchai menurut laporan FoxSport Asia.
Keputusan seri pada perlawanan pertama sedikit-sebanyak memberikan kelebihan kepada Malaysia dimana pasukan bimbingn Tan Cheng Hoe hanya memerlukan keputusan seri 1-1 untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir dengan kelebihan jaringan di tempat lawan.
Kali terakhir Malaysia mara ke final ialah pada edisi 2014 lalu dimana skuad bimbingan Dollah Salleh ketika itu tewas kepada skuad Gajah Perang dengan keputusan 4-3 secara agregat.
Secara tidak langsung, perlawanan di Stadium Rajamangala esok boleh dijadikan sebagai medan membalas dendam kekalahan pada empat tahun lalu.
Baca Juga: Safawi Tetap Fokus Walau Dikritik