MISC-Mifa Ganti Felcra FC?
- Liga Super
- Nov 17, 2018
- No comment
Pasukan yang menduduki tangga ketiga dalam saingan Liga Perdana musim ini, MISC-Mifa menjadi pilihan utama untuk menggantikan Felcra FC dalam saingan Liga Super musim hadapan.
Ketua Pengawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL) Kevin Ramalinggam berkata, Mifa perlu memenuhi beberapa syarat tertentu sebelum dinaikkan pangkat beraksi di Liga Super.
“MFL telah menghantar surat kepada MISC-Mifa mengenai lapan kriteria yang harua dipenuhi sebelum dipromosikan untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan.
“Antara kriteria tersebut adalah, membuktikan Lesen Kelab yang telah diluluskan oleh FAM, deklarasi pembayaran tertunggak, perancangan kewangan 2019 hingga 2021, pengauditan penyata kewangan yang telah dihantar ke FAM, perjanjian sewaan stadium bagi lima musim terakhir (2014-2018), carta organisasi pasukan, deklarasi intergriti bagi lima musim terakhir (2014-2018) dan perancangan pasukan bagi menaikkan jumlah penyokong dan memantapkan perhubungan bersama penyokong,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Kevin, Mifa perlu melakukan penelitian yang terperinci bagi mengelak masalah daripada berlaku.
“Seperti berlaku tahun lepas, pasukan tempat ketiga telah diberi peluang untuk naik, tapi kita lihat pasukan tersebut telah menduduki tangga terbawah di penghujung musim.
“Jadi, kita perlu membuat penilaian dahulu sebelum mempromosikan pasukan ini di liga tertinggi supaya mereka bersedia dengan perancangan untuk memberi saingan kompetitif,” tambah Kevin.
Tambahnya, perkara sama akan dilakukan dalam saingan Liga Premier 2019 yang mana setakat ini hanya ada lapan pasukan sahaja sah beraksi dengan empat slot lagi masih kosong.
“Bagi memenuhi 12 slot tersebut, FAM akan mencadangkan empat pasukan dari Liga FAM yang akan dipromosikan dan seterusnya MFL akan membuat penapisan berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan. Keputusan akhir bagaimanapun tertakluk kepada Lembaga Pengarah MFL,” ujar Kevin.
Baca Juga: Masalah Kewangan Punca Felcra Tarik Diri