MISC-Mifa Mahu Berbincang Dengan MFL
- Liga Super
- Nov 19, 2018
- No comment
Pasukan Liga Perdana, MISC-Mifa mahu berbincang dengan pengelola Liga Malaysia (MFL) mengenai cadangan untuk mereka menggantikan pasukan Felcra FC yang menarik diri daripada saingan Liga Super musim hadapan.
Setiausaha Agung MIFA, K Anpananthan berkata pihaknya mahu berbincang dengan MFL berkaitan lapan kriteria yang perlu dipenuhi kelab untuk ke Liga Super, seperti yang diminta oleh MFL sebelum ini jika Mifa mahu mengisi slot yang ditinggalkan oleh Felcra.
“Ia memang satu berita gembira apabila MIFA dipilih untuk ke Liga Super, tapi kami dalam proses menyediakan pelan terbaik buat kelab.
“Bukan senang untuk bersaing dalam Liga Super kerana ia memerlukan kos lebih tinggi dan perlukan kewangan yang kukuh. Untuk beraksi di Liga Super kami tiada masalah, kami boleh main.
“Pemain dan jurulatih pun teruja. Cuma sekarang kami menunggu untuk berbincang secara lebih lanjut kerana presiden Datuk T Mohan kini berada di luar negara,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Selain mahu mengadakan perbincangan bersama MFL, Mifa juga mahu membuat pertemuan dengan pihak penaja berkaitan pelan perniagaan yang diperlukan dalam mengukuhkan pasukan untuk musim akan datang.
Mifa yang menamatkan saingan Liga Perdana musim 2019 menjadi pasukan yang dipilih oleh MFL untuk beraksi dalam Liga Super 2019 bagi menggantikan Felcra FC yang telah menarik diri kerana kekangan kewangan yang dihadapi oleh pasukan itu.
Pada masa yang sama, Anpananthan menjelaskan kelab berkenaan dalam perancangan untuk melakukan perubahan musim depan bagi menarik minat lebih ramai peminat dan bukan hanya tertumpu kepada kaum India sahaja.
“Kami mahu peminat MIFA terdiri daripada semua kaum termasuk India, Melayu, Cina dan sebagainya. Ia selaras dengan apa yang diminta MFL.
“Jadi, kami perlukan strategi atau agenda baharu untuk berbuat demikian dan mungkin kami akan jadikan MIFA sebagai satu kelab komuniti.
“Kita mahu jadi kelab yang stabil dan apa yang penting adalah mendapatkan sokongan daripada ramai peminat. Kami tak mahu setahun masuk Liga Super lepas itu keluar,” tambah beliau.
Baca Juga: MISC-Mifa Ganti Felcra FC ?