MSN Sambung Khidmat Lim Teong Kim
- Harimau Malaya
- Feb 12, 2019
- No comment
Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim kembali diberi tugas oleh Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menggalas jawatan tersebut, tanpa diletakkan sebarang Key Performance Index (KPI).
Perkara ini diumumkan oleh Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dimana beliau berkata pihaknya belum mengenalpasti sebarang indeks prestasi utama (KPI) untuk diberikan kepada Teong Kim.
“AMD dianggap tempat dan pusat untuk pemain terbaik dari semua peringkat umur. Tugas Teong Kim di AMD adalah untuk ‘menaik taraf’ pemain dari semua peringkat umur kepada tahap maksimum.
“Tidak ada sebarang KPI tertentu buat Teong Kim sebab kita pun dah gagal ke Piala Dunia. Setakat ini, kita belum kenalpasti lagi sasaran berkenaan,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Kontrak bekas ketua jurulatih pasukan akademi Bayern Munich itu dijadualkan tamat pada 31 Oktober ini. Kegagalan skuad bawah 16 tahun negara mara ke peringkat separuh akhir kejohanan AFC Bawah 16 Tahun yang diadakan di Malaysia tahun lalu menyebabkan Teong Kim kehilangan jawatan tersebut.
Setelah gagal untuk mara ke peringkat separuh akhir AFC Bawah 16 Tahun sekaligus kehilangan slot ke Piala Dunia bawah 17 Tahun, jawatan pengarah teknikal yang diambil alih oleh Saad Ichalalene.
Pada mesyuarat jawatankuasa teknikal NFDP yang diadakan di Bukit Jalil semalam, MSN menetapkan Teong Kim akan mengetuai AMD dalam lima peringkat umur iaitu bermula bawah 13 (B-13) hingga B-17.
Pada masa yang sama, mesyuarat jawatankuasa berkenaan juga bersetuju untuk melantik seramai tujuh jurulatih bagi mengisi jawatan ketua jurulatih, pembantu jurulatih dan jurulatih penjaga gol untuk AMD.
Tujuh jurulatih yang dimaksudkan ialah P.Maniam (ketua jurulatih B-15), P.Somasundram (ketua jurulatih B-16), Muhammad Firdaus Aziz (penolong jurulatih B-15), Hassan Sazali Waras (penolong jurulatih B-17), Roslee Md.Derus (penolong jurulatih B-15), Fairuz Firdaus (jurulatih penjaga gol) dan Sani Anuar Kamsani (jurulatih penjaga gol).
Selain melantik tujuh jurulatih di atas, mesyuarat tersebut juga bersetuju untuk melantik ketua jurulatih remaja bagi negeri Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.
Baca Juga: Ketiadaan Lim Teong Kim Cetus Tanda Tanya