Mungkinkah Dion Cools Yang Pertama ?
- Harimau Malaya, Luar Negara
- Feb 19, 2018
- No comment
Pemain berdarah Belgium-Malaysia, Johan Dion Cools berkemungkinan menjadi pemain berdarah Malaysia yang pertama untuk tampil dalam temasya paling berprestij dalam dunia bola sepak iaitu Piala Dunia. Dion Cools terlibat dalam satu video promo pasukan kebangsaan Belgium bagi temasya Piala Dunia di Rusia pada Jun nanti. Anda boleh lihat videonya di bawah.
https://t.co/ucwhLsi4TT
Sumber Video: Belgium FA
Nama Dion Cools mula menjadi perhatian peminat bola sepak Malaysia apabila beliau berjaya menembusi skuad utama pasukan Liga Belgium, Club Brugge KV pada usia muda. Dion Cools juga berjaya tampil bagi skuad kebangsaan bawah 21 tahun Belgium. Tidak mustahil pada masa terdekat ini Dion Cools mampu untuk membuat penampilan bersama skuad senior Belgium. Jika beliau berjaya, Dion Cools akan bermain di samping pemain bintang bola sepak seperti Eden Hazard, Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku.
Jika kita melihat kepada persaingan untuk posisi bek kanan pasukan Belgium, ketika ini hanya ada Thomas Meunier yang sinonim dengan posisi tersebut. Kami berpendapat Dion Cools mempunyai peluang untuk mencabar Meunier bagi posisi tersebut. Beliau masih lagi mempunyai masa 4 bulan bagi meyakinkan jurulatih Belgium, Roberto Martinez bahawa beliau adalah pemain yang tepat untuk dibawa ke Rusia pada Jun nanti.
Jika Cools berjaya tampil untuk skuad senior Belgium, ini bermakna peluang kita untuk melihat pemain ini menyarung jersi Malaysia akan tertutup rapat. Tetapi tidak mengapa. Kita sedia maklum betapa bagusnya kualiti yang dimiliki oleh bola sepak Belgium. Jadi adalah satu perkara yang wajar apabila Cools lebih memilih untuk terus bermain di sana. Apa yang boleh kita lakukan sebagai peminat bola sepak Malaysia adalah mendoakan serta menyokong Johan Cools.
Adakah kita akan menyaksikan pemain berdarah Malaysia yang pertama beraksi dalam temasya Piala Dunia ? Jawapan itu haruslah kita tunggu sehingga pasukan Belgium mengumumkan skuad akhir mereka nanti. Tetapi tidak mustahil jika Johan Cools bekerja keras dan menunjukkan prestasi cemerlang, beliau akan dipilih oleh Roberto Martinez.
Baca Juga: 5 Pemain Kacukan Yang Perlu Diberi Peluang