Natxo Insa Mampu Kukuhkan Bahagian Tengah

Ketua jurulatih pasukan negara, Tan Cheng Hoe bereksperimen di bahagian tengah apabila beliau menurunkan Kenny Pallraj dan Syamer Kutty Abba di bahagian tengah pada perlawanan menentang Kyrgyzstan. Di sini penulis berpendapat kehadiran Natxo Insa boleh mengukuhkan lagi bahagian tersebut.

Kenny dan Syamer berjaya menjalankan tugas dengan baik ketika pasukan negara berada dalam mod bertahan dimana kedua-dua pemain mampu untuk mematahkan serangan dari bahagian tengah. Barisan serangan Kyrgyzstan seolah-olah sukar untuk melepasi kedua pemain.

Namun, satu perkara yang penulis lihat pada perlawanan semalam ialah kurangnya kreativiti daripada Kenny dan Syamer. Tiada killer pass kepada barisan serangan daripada kedua-dua pemain sedikit-sebanyak menyukarkan barisan serangan untuk mencari jaringan.

Bagi menyelesaikan masalah ini, kehadiran pemain tengah Johor Darul Ta’zim, Natxo Insa dilihat sebagai jawapan yang tepat. Kualiti hantaran serta kawalan bola yang dimiliki oleh Natxo mampu untuk memperkemaskan lagi bahagian tengah pasukan negara.

Seorang lagi pemain yang boleh dipertimbangkan ialah pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih. Sama seperti Natxo, kualiti hantaran serta kawalan bola yang dimiliki oleh Azam mampu untuk membantu skuad negara.

Sebelum turun pada perlawanan pertama Piala AFF Suzuki 2018 dimana Malaysia dijadualkan menentang pasukan Kemboja, skuad Harimau Malaya akan menghadapi satu lagi perlawanan persahabatan iaitu menentang pasukan Maldives pada 3 November.

Pada perlawanan menentang Maldives ini, Tan Cheng Hoe boleh memanggil Natxo dan juga Nor Azam bagi diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan negara. Ini bagi membentuk satu keserasian dan persefahaman antara kedua pemain dengan rakan sepasukan yang lain.

Apa yang pasti, meskipun menunjukkan peningkatan pada perlawanan menentang Kyrgyzstan semalam, namun masih lagi ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki oleh pasukan kebangsaan seperti di bahagian tengah dan bahagian serangan khususnya posisi penyerang utama.

Jika pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe ini berjaya memperbaiki kelemahan sedia ada, maka peluang Malaysia untuk membawa pulang trofi Piala AFF buat kali pertama sejak edisi 2010 boleh menjadi kenyataan.

Baca Juga: Norshahrul Pamer Peningkatan

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *