Negeri Sembilan Tersingkir, Usah Meratap Penyokong Jang!

Peringatan : Ini adalah pandangan peribadi penulis selepas merenung nasib melihat Negeri Sembilan tersingkir ke Liga Perdana di Stadium Cheras.

Selepas jaringan Indra Putra memberi kemenangan Kuala Lumpur, hasrat penyokong Negeri Sembilan
untuk bertahan di Liga Super akhirnya habis. Maka Negeri Sembilan telah sah menjadi pasukan
pertama yang tersingkir ke Liga Perdana 2019, memberi satu kekecewaan kepada penyokong Jang
yang turun ke Stadium Cheras – termasuk saya sendiri.

Kecewa ? Sudah tentu. Marah ? Mungkin juga. Tapi ingat penyokong Hoben Jang Hoben, kita masih
ada lagi satu perlawanan di Paroi melawan jiran kita, Melaka United. Derbi Naning. Kita kalah 3-0 di tempat lawan, jadi kita balas dendam sehabis mungkin, dan berdoa semoga slot terakhir Liga Super untuk Piala Malaysia bulan depan milik Negeri Sembilan.

Masalah Negeri Sembilan dalam saingan liga hampir sama setiap musim. Semangat membara,
kemudian jatuh layu di pertengahan musim. Musim-musim terdahulu dengan target this year is our
year di awal musim, namun diakhiri dengan lima besar di Liga Perdana.

Mujur FMLLP berbesar hati memberi slot percuma kepada Negeri Sembilan dan PKNP bagi menggantikan Felda United dan TTeam (sekarang Terengganu II).

Belum lagi pemilihan pemain yang bagaikan datang ambil gaji. Maaf jika saya berkata sedemikian,
namun itu kata-kata salah seorang orang kuat Negeri Sembilan. Mereka tiada jiwa kecewa dengan
kegagalan dan kekalahan, mereka seperti tidak mengambil kesah dengan kesilapan yang dilakukan.

Walau mungkin ramai di antara pemain bukan berdarah Nismilan, namun mereka tidak kesian dengan
penyokong yang bersusah payah turun away games sampai ke Darul Aman atau Ismail Nasiruddin Shah.

Pemilihan pemain import juga satu perkara yang pelik. Musim ini dimulakan dengan kontroversi
Madhu Mohana yang tiba-tiba disahkan cedera sehingga ditukar dengan Prak Mony Udom. Ya,
statistik mengatakan dia bagus, tapi bagus untuk Liga Kemboja. Dah sampai ke sini, dia jarang
diberikan minit perlawanan.

Saya pernah lihat dia bermain di perlawanan persahabatan, macam tak tentu hala. Lebih baik pemain tengah Korea Kim Do-heon tu, dah 36 tahun tapi rajin turun naik sampai semput.

Tambahan, pergantian jurulatih yang sempat membingungkan. Dimulakan dengan Jorg Steinebrunner, yang menjadi persoalan kawan-kawan saya semasa majlis pengenalan pemain dan jersi Negeri Sembilan – siapa dia ?

Sebelum menjadi jurulatih, dia adalah ketua pengarah Negeri Sembilan, dan selepas kejayaan musim lepas di mana Negeri Sembilan mendahului separuh musim, maka jurulatih dari Jerman itu dinaikkan pangkat sebagai jurulatih.

Namun selepas 5 perlawanan (hanya sekali menang melawan Kuala Lumpur), dia digantikan dengan Azraai Khor 2 hari sebelum perlawanan Piala FA menentang Kedah. Azraai Khor dipecat selepas 7 perlawanan liga tanpa kemenangan (4 kali kalah) dan digantikan dengan Mario Lemos – yang juga menjadi tanda tanya – siapa dan darimana dia ? Nasib baik di bawah gabungan Lemos dan Asri Ninggal, Negeri Sembilan memenangi 3 perlawanan daripada 9 perlawanan liga.

Polemik pergantian jurulatih hanya kerana mahukan keputusan segera. Maaf, ini liga Malaysia. Bukan liga Eropah yang mana pemilik atau presiden pasukan mampu bersabar selepas 2-3 bulan dan 10 perlawanan.

Lihat saja pesaing Negeri Sembilan di tangga terbawah, Kelantan, empat jurulatih diganti dan pemain senior dibuang, belum lagi prestasi dan moral pemain merosot. Ibarat kedua-dua pasukan ini telur di hujung tanduk, tunggu jatuh je. Negeri Sembilan dah jatuh, sampai keluar chant ‘Selamat datang Liga Perdana’ semalam.

Jadi kepada penyokong Negeri Sembilan, usah bersedih. Andaikan pasukan kita ini sah tersingkir tanpa sebarang perubahan, anggaplah ini satu jentikan kesedaran kepada atasan di sana, pilihlah yang benar-benar berkualiti.

Mungkin musim hadapan kita dapat bersaing kecil-kecilan dengan anak jati tempatan dan awang import Afrika. Sejarah berkata, Afrika dan Negeri Sembilan adalah serasi. Cukuplah pemain tengah Afrika, penyerang Eropah dan pemain pertahanan Afrika dibawa masuk.

Takkan sampai kalah dengan pasukan universiti musim hadapan, sedangkan lawan UKM di Bangi pun seri tanpa jaringan dua kali bulan Mac lepas.

Nota: Artikel tentang 20 previu Liga Bolasepak Malaysia ini ditulis oleh Saudara Ariff Ansaruddin. Beliau merupakan tenaga pengajar di salah sebuah institut pengajian awam (UKM Bangi) dan pernah menuntut di Universitas Indonesia, penyokong Negeri Sembilan FA dan UKM FC.

Baca Juga: Nasib Negeri Sembilan Terletak Di Tangan Sendiri

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *