Nick Swirad Buru Tempat Dalam Kesebelasan Utama
- Harimau Malaya
- Mar 13, 2019
- No comment
Pemain pertahanan PKNS FC, Nick Swirad berazam mahu tampil dalam kesebelasan utama pasukan kebangsaan yang akan beraksi dalam kejohanan Piala Airmarine 2019.
Swirad antara tujuh muka baharu yang dipanggil oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe bagi memperkuatkan pasukan negara dan beliau nyata berbangga dapat menyertai latihan berpusat skuad kebangsaan buat pertama kali namun menyedari saingan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama adalah sengit.
“Ini satu peluang yang hebat bagi saya untuk menyertai skuad kebangsaan buat pertama kali dan saya akan berikan yang terbaik untuk membantu pasukan mencatat kemenangan dalam kejohanan.
“Saya sudah bermain dalam Liga Super selama dua tahun setengah dan kenal sebahagian pemain namun saya sedar saya harus bekerja keras untuk disenaraikan dalam pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kejohanan Piala Airmarine kali ini disertai oleh empat negara iaitu Malaysia selaku tuan rumah, Oman, Afghanistan dan seteru dari seberang tambak, Singapura.
Prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh Nick Swirad dalam saingan Liga Super musim ini nyata menambat hati Tan Cheng Hoe untuk memanggil beliau bagi memperkukuhkan bahagian pertahanan pasukan negara.
Swirad berjaya menjaringkan dua gol dalam saingan Liga sambil memastikan pintu gol PKNS tidak dibolosi setakat ini.
Sebelum menyertai PKNS FC, Swirad bermain bersama Johor Darul Ta’zim pada musim 2016 dan kemudiannya beliau berhijrah ke Melaka United musim berikutnya sehingga musim lepas.
Malaysia akan bertemu pasukan Singapura manakala Oman berdepan Afghanistan dalam pertemuan separuh akhir Piala Airmarine dengan kedua-dua perlawanan berlangsung pada 20 Mac.
Pemenang peringkat separuh akhir akan bertemu di pentas final manakala yang kalah pula akan bersaing untuk penentuan tempat ketiga/keempat. Kedua-dua perlawanan akan berlangsung tiga hari kemudian.
Baca Juga: FAM Yakin Penyokong Akan Datang Ke Stadium