Nidzam Adzha Yusoff Sertai Melaka United
- Liga Super
- Nov 25, 2018
- No comment
Bekas ketua jurulatih pasukan Kedah, Nidzam Adzha Yusoff menyertai Melaka United apabila dilantik sebagai penolong jurulatih kepada Zainal Abidin Hassan bagi saingan musim hadapan.
Perkara ini disahkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi dimana menurut beliau Zainal meminta seorang jurulatih yang berpengalaman luas dalam saingan Liga Malaysia bagi membantu beliau mengendalikan pasukan.
“Sebenarnya saya agak terperanjat kerana Mohd. Nidzam sanggup datang ke Melaka dan beliau sendiri merupakan nama agak besar dalam bola sepak di negara ini.
“Sebelum pergi mengerjakan umrah, Zainal mencadangkan nama beliau (Mohd. Nidzam) untuk menjadi penolong beliau dan apa yang jelas, beliau akan menjadi penolong memandangkan itu permintaan Zainal sendiri,” katanya kepada Utusan.
Tambah Datuk Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) beliau yakin gandingan Nidzam Adzha Yusoff dan Zainal Abidin Hassan mampu untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan.
Nidzam sebelum ini menjadi pengendali pasukan Kedah namun beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih selepas Kedah mempamerkan prestasi hambar dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia.
Pengurusan pasukan Melaka melantik Zainal Abidin sebagai ketua jurulatih pasukan yang baru selepas ketua jurulatih sedia ada, E.Elavarasan tidak melanjutkaj kontrak dan memilih untuk berpisah dengan pasukan.
Untuk rekod, pasukan Melaka United menduduki tangga ketujuh daripada 12 pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Super musim 2018.
Pasukan berkenaan sekadar mara sehingga ke pusingan ketiga Piala FA selain gagal melepasi peringkat kumpulan dalam saingan Piala Malaysia 2018.
Baca Juga: Zainal Abidin Hassan Ketua Jurulatih Pasukan Melaka United Yang Baru