Nik Akif Dan Hadi Fayyadh Wajar Diberikan Peluang
- Harimau Malaya
- Jul 17, 2018
- No comment
Kejayaan pasukan bawah 19 tahun negara memenangi Piala AFF Bawah 19 Tahun di Indonesia minggu lalu nyata memberikan kebanggaan yang tersendiri kepada peminat. Selepas dibaling botol dan diancam keselematan oleh peminat tuan rumah, akhirnya Harimau Muda mengangkat piala di bumi mereka. Dalam pasukan muda ini, ada dua pemain yang menarik perhatian penulis iaitu Nik Akif dan Hadi Fayyadh.
Nik Akif Syahiran dan Hadi Fayyadh menjadi harapan utama pasukan muda negara di bahagian serangan dalam kejohanan kali ini. Meskipun kedua-duanya tidak menunjukkan aksi yang baik ketika perlawanan peringkat kumpulan, namun pada peringkat separuh akhir dan perlawanan akhir keduanya menampilkan aksi yang sangat bertenaga.
Ketika menewaskan Indonesia di peringkat separuh akhir, Nik Akif menjadi penggerak kepada gerakan serangan pasukan negara dengan ketiadaan Akhyar Rashid yang terpaksa dihantar pulang kerana mengalami kecederaan bahu.
Nik Akif berjaya mengekalkan momentum beliau dan pemain tengah Kelantan ini sekali lagi menunjukkan persembahan yang cemerlang apabila beliau menjaringkan dua gol dalam perlawanan akhir menentang Myanmar termasuk satu gol kemenangan ketika waktu memasuki masa tambahan.
Bagi Hadi Fayyadh pula, meskipun gagal untuk menjaringkan gol dalam kejohanan kali ini, namun kelibat beliau di bahagian serangan berjaya menghadirkan ancaman kepada barisan pertahanan pihak lawan.
Penulis berpendapat Nik Akif dan Hadi Fayyadh boleh diberikan peluang untuk tampil bersama pasukan bawah 23 tahun negara dalam temasa Sukan Asia 2018 di Indonesia yang akan bermula Ogos ini.
Nik Akif boleh memberikan Datuk Ong Kim Swee lebih banyak pilihan untuk diletakkan di bahagian tengah sementara Hadi Fayyadh boleh dijadikan sebagai penyerang utama di samping Akhyar Rashid dan Safawi Rasid.
Apa yang penting, pasukan muda negara ketika ini sedang berada dalam prestasi terbaik dan diharapkan mereka mampu untuk memberi cabaran kepada pasukan-pasukan gergasi Asia yang lain dalam temasya kali ini.
Apa pendapat anda mengenai adanya Nik Akif Syahiran dan Hadi Fayyadh dalam pasukan bawah 23 tahun negara untuk mengharungi cabaran Sukan Asia 2018 nanti ? Mampukah kedua-dua pemain ini memberikan impak ?
Baca Juga: Chow Kwai Lam Dalam Ingatan