Nik Akif Tunggu Panggilan Bojan Hodak
- Harimau Malaya
- Oct 1, 2018
- No comment
Pemain tengah pasukan Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat mengatakan beliau masih menunggu panggilan daripada ketua jurulatih pasukan bawah 19 tahun negara, Bojan Hodak untuk menghadapi temasya AFC Bawah 19 Tahun di Indonesia yang akan bermula 18 Oktober ini.
Setelah Kelantan tewas kepada pasukan Sabah dalam perlawanan peringkat suku akhir Piala Malaysia 2018, maka perjalanan skuad The Red Warriors bagi musim 2018 sudah berakhir. Namun, Nik Akif masih mempunyai satu tugasan terakhir untuk tahun ini iaitu temasya AFC bawah 19 tahun.
Nik Akif menjelaskan beliau masih lagi belum mendapat panggilan daripada Bojan Hodak akan tetapi pemain berusia 19 tahun ini menyatakan kesediaan beliau sekiranya dipanggil.
“Untuk pasukan B-19, saya masih belum menerima panggilan daripada jurulatih. Mungkin saya akan dihubungi apabila sudah pulang ke Kelantan,” kata Nik Akif kepada Stadium Astro.
Ketika ditanya mengenai masa depan beliau, Nik Akif memberitahu bahawa beliau mahu kekal bersama Kelantan dan cuba untuk terus beraksi bersama skaud The Red Warriors itu pada saingan musim hadapan.
“Bagi saya, lebih baik untuk saya terus bersama skuad negeri (Kelantan). Saya akan cuba kekal bagi saingan musim depan,” tambah beliau.
Apa yang pasti, kehadiran Nik Akif Syahiran ke dalam skuad bawah 19 tahun negara boleh memantapkan lagi bahagian tengah pasukan kerana beliau menjadi pemain utama di bahagian tersebut ketika beraksi bersama pasukan kendalian Bojan ini.
Selain itu, pengalaman dan juga ilmu yang diperoleh Nik Akif ketika beraksi bersama skuad bawah 23 tahun pada temasya Sukan Asia 2018 lalu juga boleh digunakan bagi membantu skuad bawah 19 tahun nanti.
Jika pasukan negara berjaya layak ke peringkat separuh akhir, maka Malaysia akan layak untuk beraksi di temasya Piala Dunia Bawah 20 Tahun yang akan diadakan di Poland tahun hadapan.
Baca Juga: Lim Teong Kim Kekal Terajui NFDP