Nikmati.. Bukan Jadi Penyebar Benci
- Liga Super, Piala FA
- Jul 6, 2018
- No comment
Tiket jualan perlawanan akhir Piala FA 2018 tidak mendapat sambutan. Itu ialah topik perbincangan hangat peminat bola sepak Malaysia saat ini. Di samping itu, ada pula pihak yang tidak bertanggung jawab cuba menjadi duri dalam daging dengan menjadi penyebar benci di atas isu jualan tiket ini.
Tak perlulah penulis terangkan pihak mana yang cuba mencetuskan kekecohan yang penulis maksudkan di atas. Sebagai pasukan yang telah mengecapi pelbagai kejayaan di pentas Liga Malaysia dan juga antarabangsa, pihak ini perlulah bersikap lebih profesional.
Jangan kita menjadi penyebar benci dan menyebabkan peminat bola sepak Malaysia berpecah-belah dan bergaduh sesama sendiri. Cukup-cukuplah pelbagai duka dan juga permasalahan yang dihadapi oleh peminat. Jangan kita menabur garam ke atas luka.
Berkenaan jualan tiket perlawanan akhir Piala FA yang tidak mendapat sambutan, berikan ruang kepada Malaysia Football League (MFL) untuk menjalankan tugas mereka bagi memastikan perlawanan akhir tahun ini mendapat sambutan daripada penyokong.
Pasukan yang terlibat dalam perlawanan pada esok juga tidak melibatkan pasukan anda. Jadi, apa yang boleh dilakukan ialah anda memberikan sokongan kepada Pahang dan Selangor. Ucapkan selamat berjaya kepada mereka. Bukannya mendakwa peminat mereka meminati pasukan anda secara senyap-senyap.
Walau apa pun, penulis nak menyeru kepada penyokong pasukan Pahang dan juga Selangor untuk memenuhkan Stadium Nasional Bukit Jalil pada esok dan memberikan sokongan padu kepada pasukan anda.
Lupakan seketika perlawanan Piala Dunia yang melibatkan pasukan England menentang Sweden pada malam esok. Pasukan anda perlukan sokongan padu dari anda untuk mereka mengharungi cabaran perlawanan akhir.
Bagi penyokong pasukan lain, usahlah kita ambil kisah dengan anasir yang mahu memecah-belahkan kita. Tetaplah bersatu-padu agar bola sepak Malaysia terus maju dan berjaya pada masa akan datang.
Kalau bukan kita yang memainkan peranan, siapa lagi ? Takkan kita nak minta peminat dari negara jiran untuk memainkan peranan ? Tepuk dada tanya selera.
Baca Juga: Sebenarnya Jepun Tak Kemas, Tapi Malaysia Kemas