OKS Berang Dengan Tindakan Tengku Hazman
- Harimau Malaya
- Feb 12, 2019
- No comment
Pengendali skuad bawah 22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee berang dengan tindakan ketua jurulatih Terengganu FC II, Tengku Hazman Raja Hassan yang tidak mengendahkan panggilan beliau untuk mendapatkan pemain pasukan itu bagi menyertai pasukan negara untuk menghadapi kejohanan AFF Bawah 22 Tahun di Kemboja yang akan bermula pada 17 Februari ini.
Kim Swee telah menelefon serta menghantar pesanan ringkas kepada Tengku Hazman bagi mendapat persetujuan beliau untuk memanggil pemain dari TFC II. Namun, usaha Kim Swee menemui jalan buntu apabila Hazman tidak memberikan sebarang jawapan dan perkara ini nyata membangkitkan kemarahan bekas pengendali pasukan senior negara ini.
“Memang saya marah apabila pengurusan kelab tidak mahu melepaskan pemain. Cuba bayangkan, saya telefon tidak terjawab dan saya mesej juga tidak berbalas,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Pada awalnya, OKS mahu memanggil tiga pemain bagi menggantikan lima pemain yang tidak mendapat pelepasan daripada pasukan negeri dan juga kelab masing-masing. Namun, hanya dua pemain iaitu iaitu Muhamad Danish Haziq Saipul Hisham dari Negeri Sembilan dan K.Thivendran (PJ City) yang menyertai pasukan.
Datuk @OKS_HarimauMsia juga memanggil K. Thivandaran (@city_pj) & Danish Haziq (@PBNS1923) selepas beberapa pemain tidak mendapat pelepasan kelab masing-masing. #AFFU22 #KamiTeamMalaysia pic.twitter.com/hxTiNCoeuL
— Team Malaysia (@TeamMsia) February 11, 2019
OKS kini sedang dilanda dilema apabila lima pemain utama skuad bawah 22 tahun negara tidak mendapat pelepasan daripada pasukan masing-masing. Lima pemain itu adalah Syahmi Safari dari Selangor; Danial Amier Norhisham dan Zahril Azri Zabri dari FELDA United; Fadzrul Danel Nizam dari Kedah serta Faizal Halim dari Pahang.
Dengan kehadiran K.Thivendran, kini OKS mempunyai tiga pemain di bahagian tengah dimana sebelumnya ada Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Muhammad Danial Haqim Draman yang telah menyertai pasukan lebih awal.
Pada masa yang sama, Datuk Ong Kim Swee menegaskan beliau tidak akan menyenarai hitamkan pasukan yang enggan melepaskan pemain mereka.
“Tidak ada guna kalau saya ‘gam’ pasukan itu kerana saya kasiankan pemain kerana jika saya buat, ia menutup peluang dan merugikan pemain itu sendiri,” tambahnya.
Dalam saingan AFF Bawah 22 Tahun yang akan bermula pada Ahad ini, Malaysia diundi dalam kumpulan B dimana mereka bakal menghadapi pasukan tuan rumah, Kemboja, Myanmar dan Indonesia. Satu lagi pasukan, Singapura mengambil keputusan untuk menarik diri.
Baca Juga: Datuk Ong Kim Swee Mahu Rombak Bahagian Tengah