Padang Becak Merencatkan Rentak Permainan
- Harimau Malaya
- Sep 8, 2018
- No comment
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe menyatakan keadaan padang yang becak telah menyebabkan Harimau Malaya gagal untuk menampilkan permainan terbaik pada perlawanan menentang Taiwan semalam.
Cheng Hoe mengakui keadaan padang yang becak menyukarkan anak-anak buah beliau untuk menampilkan persembahan terbaik mereka. Gerakan yang disusun oleh para pemain seringkali gagal apabila bola tidak bergerak seperti yang diharapkan.
“Kami datang ke sini (Taiwan) untuk mendapatkan keputusan positif, tapi malangnya kami tewas 0-2.
“Pemain melakukan kesilapan teknikal dan sudah pasti sebagai jurulatih saya memahami yang kami tidak boleh mempamerkan aksi seperti biasa dengan keadaan padang yang begini (becak).
“Kami memang sudah biasa harungi perlawanan di atas padang yang basah, tapi kami pasti boleh mempamerkan aksi lebih mantap jika permukaan padang lebih baik,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Kekalahan kepada Taiwan semalam merupakan kekalahan kedua dialami oleh bekas ketua jurulatih pasukan Kedah itu selepas mengendalikan lima perlawanan Harimau Malaya sejak dilantik sebagai ketua jurulatih bagi menggantikan Nelo Vingada.
Anak-anak buah Tan Cheng Hoe seterusnya akan terbang ke Phnom Penh bagi mengharungi satu lagi aksi persahabatan antarabangsa berdepan Kemboja, Isnin ini.
Mengulas pertemuan dengan Kemboja nanti, Cheng Hoe akan memberi fokus untuk memperkuatkan mental pemainnya selepas mengalami kekalahan kepada Taiwan.
“Saya pasti akan berdepan tugas sukar untuk berdepan Kemboja dengan mereka mendapat suntikan motivasi daripada jurulatih baharu Keisuke Honda. Cuma saya harap mental semua pemain berada pada tahap terbaik untuk berdepan Kemboja nanti,” katanya.
Selepas itu, Harimau Malaya juga bakal mengharungi tiga lagi aksi persahabatan berdepan Sri Lanka dan Kyrgyzstan pada 12 dan 16 Oktober ini sebelum menentang Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 November.
Apa pendapat anda mengenai kekalahan pasukan kebangsaan di tangan pasukan Taiwan semalam? Aspek manakah yang perlu diperbaiki oleh Tan Cheng Hoe dan juga para pemain bagi mengelak daripara tewas di tangan Kemboja pada Isnin ini?
Baca Juga: Harimau Malaya Alami Kekalahan Kedua