Pahang Dinobat Juara Piala FA 2018!
- Piala FA
- Jul 8, 2018
- No comment
Pasukan Pahang dinobat sebagai juara Piala FA edisi 2018 setelah berjaya menewaskan pasukan Selangor dalam pentas perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi. Jaringan Nor Azam Azih dan Patrick Cruz sudah cukup untuk memberikan Pahang trofi ketiga Piala FA.
Kedua-dua pasukan bermula dengan corak permainan berhati-hati pada 20 minit separuh masa pertama. Akan tetapi, semuanya berubah setelah Nor Azam Azih merembat kencang dari luar kotak penalti untuk menjaringkan gol setelah benteng pertahanan Selangor gagal untuk mengeluarkan bola dengan baik.
Selangor cuba bangkit setelah ketinggalan satu gol. Namun pemain Pahang lebih bersedia apabila mematahkan segala gerakan serangan dan memanfaatkan kelalaian benteng pertahanan pasukan lawan terutamanya di sebelah kiri dimana mereka menyasarkan K.Kannan yang dilihat gugup sepanjang perlawanan. Kedudukan 1-0 kekal sehingga separuh masa pertama tamat.
Memasuki separuh masa kedua, Pahang mengekalkan momentum cemerlang mereka sementara Selangor masih lagi bergelut untuk memecahkan pertahanan lawan dan mengekang segala asakan daripada pemain Pahang.
Pahang akhirnya berjaya mendapatkan gol kedua menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Patrick Cruz setelah Alfonso De La Cruz menjatuhkan Austin Amutu dalam kotak penalti.
Tatkala ketinggalan dua gol, jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir memasukkan Evan Dimas dan Azamuddin Akil bagi mengukuhkan lagi barisan serangan. Kedua-dua pemain ini menunjukkan impak yang segera dimana barisan serangan Selangor lebih berbahaya berbanding sebelumnya.
Akan tetapi, semuan usaha seperti sudah terlambat apabila pemain Pahang tenang mematahkan segala asakan dan memastikan Pahang meraih trofi ketiga mereka dalam sejarah Piala FA.
Dalam perlawanan sebentar tadi, selain persembahan kedua-dua pasukan yang menjadi sorotan, pengadil juga tidak terlepas daripada menjadi perhatian sekaligus menjadi sasaran makian penyokong Selangor.
Mana tidaknya, beberapa keputusan pengadil dilihat berat sebelah terutamanya ketika Ilham Udin dijatuhkan dalam kotak penalti. Namun, pengadil tidak memberikan sepakan penalti kepada Selangor dan meneruskan perlawanan.
Walau apa pun, tahniah diucapkan kepada pasukan Pahang yang berjaya menjadi juara Piala FA edisi kali ini. Walaupun memenangi Piala FA, namun mereka tidak boleh bermain di peringkat Asia kerana penggantungan selama dua tahun yang dikenakan ke atas mereka.
Kami juga mahu mengucapkan tahniah kepada pasukan Selangor kerana pasukan yang dilanda dengan pelbagai masalah dan juga kekurangan pemain bintang tetapi masih lagi mampu mara ke perlawanan akhir. Mantap bossku!
Baca Juga: Milik Siapakah Trofi Piala FA Ini?