Pahang Hanya Senaraikan Empat Pemain Import

Pasukan Pahang mahu menggunakan khidmat empat pemain import bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan dan mereka positif pemain sayap pasukan, Mohamadou Sumareh akan didaftarkan sebagai pemain tempatan.

Setakat ini, slot pemain import Pahang diisi oleh Safuwan Baharuddin yang menjadi satu-satunya pemain dikekalkan daripada skuad musim lalu serta dua pemain yang baru saja dibawa masuk iaitu Saddil Ramdani dari Indonesia dan Darryl Hérold Goulon dari Perancis.

Sehingga kini, status Sumareh masih menjadi tanda tanya kerana pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini memutuskan pemain kelahiran Gambia itu kekal selaku pemain import sehingga Mac ini.

Pengurus pasukan pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata pihaknya hanya akan menggunakan empat pemain import kerana yakin Sumareh akan didaftarkan sebagai pemain tempatan.

“Kita harap MFL membenarkan Sumareh beraksi sebagai pemain tempatan kerana dia juga pemain naturalisasi yang beraksi pada Piala AFF lalu.

“Mengikut perancangan, Pahang akan menyenaraikan dua penyerang import dan masing-masing seorang di posisi tengah dan pertahanan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

November lalu, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) membuat rayuan kepada MFL untuk Mohamadou Sumareh didaftarkan sebagai pemain tempatan bagi saingan Liga Malaysia musim 2019. MFL kemudiannya mengesahkan Pahang boleh mendaftarkan Sumareh sebagai pemain tempatan.

Akan tetapi, pemain naturalisasi pertama Malaysia ini hanya boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan bermula Mac 2019 sekaligus menyaksikan dia tetap mengisi kuota pemain import pada jendela perpindahan pertama sebelum boleh bertukar status pada jendela perpindahan kedua.

Sumareh mendapat kerakyatan Malaysia pada April lalu dan beliau sudah membuat penampilan bersama pasukan kebangsaan. Pemain berusia 25 tahun ini menampilkan persembahan yang baik ketika membantu Malaysia mara ke pentas perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018.

Selain Sumareh, pemain tengah Terengganu FC, Lee Andrew Tuck juga dikhabarkan mahu didaftarkan sebagai pemain tempatan sekaligus membolehkan Rooney Ganu ini tampil bersama pasukan kebangsaan.

Baca Juga: Pahang Mahu Daftarkan Sumareh Sebagai Pemain Tempatan

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *