Para Pemain Sedia Berikan Yang Terbaik

Bahang perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 antara pasukan Terengganu FC menentang Perak pada esok semakin dirasai dengan pemain daripada kedua-dua pasukan sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik bagi memastikan mereka membawa pulang trofi paling berprestij itu.

Pemain sayap lincah Terengganu FC, Faiz Nasir berkata beliau mahu melakar sejarah peribadi sekiranya diberi tanggungjawab oleh Irfan Bakti untuk beraksi dalam kesebelasan utama.

“Ini final pertama saya dalam piala berprestij ini, sebelum ini hanya muncul juara Piala Presiden. “Jika jurulatih sekali lagi memberi tugas sebagai perancang, sudah pasti saya mahu lakar sejarah peribadi dan pasukan, tapi kerja ini bukan mudah namun tidak sukar sekiranya rakan sepasukan saling membantu,” kata Faiz kepada Berita Harian.

Seorang lagi pemain Terengganu, Suffian Abdul Rahman berkata beliau sudah menggandakan latihan bagi memastikan pintu gol tidak dibocori.

“Saya sudah menggandakan latihan jika perlawanan berakhir dengan sepakan penalti, lagipun ini final ketiga saya selepas membantu Negeri Sembilan muncul juara dan Selangor pada 2008 sebagai naib juara.

“Kami perlu cari gol awal untuk memberi tekanan kepada pihak lawan kerana pertemuan itu dijangka sengit apatah lagi barisan pemain Perak juga bagus termasuk pemain importnya,” kata pemain berusia 40 tahun itu.

Bagi pemain Perak, Brendan Gan akan memastikan beliau dan rakan-rakan sepasukan beraksi sebagai satu unit bagi mengekang asakan Terengganu FC.

“Kita akan bermain secara berpasukan untuk pastikan kemenangan Perak dan menuruti arahan diberikan jurulatih (Mehmet Durakovic).

“Seluruh pasukan bersemangat untuk menampilkan aksi terbaik sekali gus memenangi aksi itu kerana tidak mahu menghampakan penyokong.”

“Sama seperti Perak, Terengganu juga mempunyai kekuatan serta mahu memenangi perlawanan itu. Jadi, apa saja boleh terjadi dan kami perlu menggunakan peluang sebaik mungkin bagi memastikan kemenangan pasukan,” kata Brenda kepada Berita Harian.

Apa yang pasti, kita bakal disajikan satu permainan bola sepak yang terbaik kerana kedua-dua pasukan sudah lama tidak muncul sebagai juara Piala Malaysia.

Kali terakhir Perak muncul sebagai juara Piala Malaysia ialah pada edisi 2000 dimana mereka menewaskan pasukan Negeri Sembilan pada perlawanan akhir makala Terengganu FC pula pada edisi 2001 dimana mereka menewaskan pasukan Perak.

Baca Juga: Kemana Hilangnya Tiket Perlawanan Akhir ?

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *