Pasukan Mana Yang Akan Mara ?

Perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia edisi tahun ini diantara Felda United menentang Kedah dan Johor Darul Ta’zim menentang Perak akan berlangsung pada esok. Kedua-dua perlawanan ini berakhir dengan keputusan 1-1 pada perlawanan separuh akhir pertama tempoh hari. Keputusan seri ini sekaligus memberikan satu kelebihan kepada Johor Darul Ta’zim dan juga Kedah selaku pasukan pelawat pada separuh akhir pertama.

Mari kita mulakan dengan perlawanan diantara Kedah menentang Felda United terlebih dahulu. Kedah mempunyai sedikit kelebihan apabila berjaya menjaringkan satu gol di Jengka tempoh hari. Akan tetapi, pada minit-minit akhir perlawanan, fokus mereka sedikit terjejas dan membolehkan Felda menyamakan kedudukan. Tugas berat nyata menanti Felda di Darul Aman pada hari ini. Bukan saja mereka perlu mencari gol, mereka juga harus mengekang barisan tengah yang diketuai oleh Liridon Krasniqi. Pada perlawanan separuh akhir pertama, kita boleh lihat barisan tengah Felda tidak mampu untuk menyaingi barisan tengah Kedah. Hal ini juga diakui oleh jurulatih Felda United, B.Sathianathan. Beliau berkata jentera tengah akan menjadi penentu nasib mereka dalam Piala Malaysia edisi kali ini.

Seterusnya, perlawanan diantara Johor Darul Ta’zim menentang Perak di Larkin. JDT mempunyai sedikit kelebihan setelah berjaya menjaringkan satu gol ketika perlawanan separuh akhir pertama tempoh hari. Gol yang dijaringkan oleh Mohammed Ghaddar tersebut berpunca daripada kesilapan ketua pasukan Perak, Shahrom Kalam yang gagal untuk mengeluarkan bola. Bagi JDT, keputusan seri sudah cukup untuk mereka mara ke perlawanan akhir buat kali pertama sejak 2014. Bagi Perak pula, mereka harus mencari gol dan juga memastikan pintu gawang mereka tidak dibolosi. Selain itu, barisan pertahanan Perak haruslah mengurangkan kesilapan dan memberikan fokus sepenuhnya terhadap perlawanan pada hari ini bagi memastikan impian mereka ke perlawanan akhir dapat dicapai.
Pasukan mana yang akan melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-91 kali ini ? Adakah Kedah akan melangkah ke perlawanan akhir buat kali ketiga berturut-turut ? Atau Felda United akan melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia yang pertama dalam sejarah kelab mereka ?

Adakah Perak mampu untuk mengejutkan JDT di laman sendiri dan melangkah ke perlawanan akhir buat kali pertama sejak edisi 2007 ? Atau JDT akan menamatkan cabaran Perak dan melangkah ke perlawanan akhir ? Kongsikan komen anda bersama kami!

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *