Pasukan Perlu Sokong Langkah MFL – PFA
- Liga Perdana, Liga Super
- Jan 28, 2019
- No comment
Naib Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Abd Aziz Yeop Jamaluddin menyokong langkah yang diambil oleh pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang mahu melaksanakan sistem kuota perbelanjaan ke atas pasukan Liga Malaysia.
Menurut Abdul Aziz, sistem yang digunapakai di La Liga itu sudah terbukti mampu untuk menyelesaikan hutang pemain kelab Sepanyol dan kaedah ini sesuai untuk dijalankan di Malaysia memandangkan masalah kewangan merupakan isu utama yang dihadapi oleh sebahagian besar Liga M.
Namun, Abdul Aziz percaya langkah yang akan dilakukan oleh MFL itu perlu disokong oleh pasukan-pasukan dalam saingan Liga Malaysia dan mereka harus bersedia untuk mengubah mentaliti.
“Ini satu langkah baru, kalau kita lihat jumlah kes dan hutang kelab Sepanyol lebih tinggi berbanding di Malaysia tapi pihak La Liga berjaya mengatasinya menerusi sistem kawalan ini.
“Saya percaya di sana, semua pasukan memberikan kerjasama untuk La Liga melakukan sebarang perubahan termasuk kawalan ekonomi ini.
“Jadi, semua pasukan di sini (Liga M) juga perlu berikan kerjasama dan menyokong usaha MFL. Mentaliti perlu ubah, jangan anggap semua perkara itu remeh. Banyak dokumen diperlukan oleh MFL untuk melihat kedudukan kewangan pasukan, jadi semua pasukan perlu bersedia untuk bekerjasama,” kata Abdul Aziz kepada Berita Harian.
Sebelum ini, Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi memaklumkan pihaknya bersedia untuk mempraktikkan sistem kuota perbelanjaan seperti yang digunakan La Liga.
Sejak dilaksanakan pada 2012, La Liga berjaya menghapuskan bebanan hutang pasukan bertanding sebanyak €90 juta (RM422.87 juta) pada 2012 kepada sifar pada tahun 2017 sekaligus berjaya menyelesaikan masalah kemelut gaji antara pasukan dan pemain dalam tempoh lima tahun.
Menerusi sistem kuota ini, perbelanjaan pasukan dikawal mengikut kedudukan kewangan mereka dan tindakan lebih tegas akan diambil kepada pasukan yang masih berhutang selepas peraturan itu dikuatkuasakan.
Selain PFA, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAS) sebelum ini turut menyuarakan sokongan mereka kepada kuota perbelanjaan ini.
Baca Juga: Selangor Sokong Cadangan Kuota Perbelanjaan