Patrick Cruz, Pemain Gantian Yang Menyinar!

Apabila pasukan Pahang membuat keputusan untuk menggantikan dua pemain import yang baru saja menyertai pasukan, Sergio Unrein dan Alex Moraes dengan Francis Forkey Doe dan Patrick Cruz, keputusan ini nyata menjadi tanda tanya di kalangan peminat pasukan. Mereka tertanya-tanya adakah tindakan drastik yang diambil ini boleh mendatangkan keutungan buat pasukan. Dan hasilnya, Patrick dan Forkey Doe berjaya membuktikan bahawa pengambilan mereka adalah satu keputusan yang tepat. Di sini, kami ingin membahas tentang Patrick Cruz.

Nama Patrick Cruz sudah tidak asing lagi dalam Liga Malaysia, Sebelum mewakili pasukan Pahang, Patrick terlebih dulu mewakili pasukan T-Team pada musim 2016. Dalam musim pertama beliau dalam Liga Malaysia, Patrick berjaya menjaringkan 10 gol dalam saingan Liga Super musim 2016. Akan tetapi, entah mengapa kontrak beliau tidak disambung bagi saingan musim 2017. Patrick kemudiannya membawa diri ke Liga Vietnam dengan enyertai pasukan Sai Gon FC. Setelah semusim di sana, ternyata tawaran yang diberikan oleh pasukan Pahang sukar untuk ditolak. Patrick menyertai Pahang dengan berbaki dua hari jendela perpindahan yang akan ditutup. Walaupun menyertai pasukan dalam satu masa yang singkat, tetapi Patrick telah menunjukkan prestasi yang baik setakat ini.

Penyerang berusia 25 tahun ini membentuk gandingan mantap bersama Francis Forkey Doe di bahagian serangan pasukan Pahang. Kedua-dua pemain ini telah menjaringkan sejumlah 8 gol dalam saingan Liga. Patrick dan Forkey Doe juga dilabel sebagai gandingan serangan terbaik dalam Liga setakat ini. Kecemerlangan dua pemain sayap pasukan, Muhamadou Sumareh dan Chan Vathanaka juga memainkan peranan besar dalam memastikan Patrick dan Forkey Doe menjadi antara gandingan yang berbahaya. Nampaknya tindakan yang diambil oleh pengurusan pasukan Pahang membuahkan hasil.

Jika Patrick Cruz berjaya mengekalkan prestasi baik beliau sehingga hujung musim, tidak mustahil Pahang juga boleh mencabar Johor Darul Ta’zim bagi mahkota Liga Super. Keputusan mereka untuk tidak mengambil slot AFC yang diberikan setakat ini dilihat berbaloi kerana mereka boleh memberikan sepenuhnya tumpuan ke atas liga domestik.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *