“Patut Datang Jumpa Saya” Bibi Ramjani Ilias Khan

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan menyatakan pemain perlu datang berjumpa beliau bagi menyelesaikan masalah gaji, dan bukan merungut di laman media sosial seperti Facebook.

Menurut Bibi, jika ada pemain yang merungut di media sosial tentang masalah gaji, maka pemain tersebut tidak akan dibayar gaji daripada KAFA.

Menurut Laporan Utusan Malaysia, Bibi lebih selesa jika pemain datang sendiri ke pejabat beliau dan berbincang bagi mencari jalan penyelesaian kepada isu tersebut.

“Pemain patut datang berurusan dengan Kafa dan bukan menggunakan media, kecuali mereka (pemain) sengaja hendak mencetuskan persepsi yang tidak bagus kepada majikan.

“Sebagai pemain mereka perlu menghormati kontrak kerana masih mempunyai majikan,” kata Bibi Ramjani.

Sebelumnya, sebuah portal melaporkan dua bekas pemain Kelantan, Mohd. Badhri Radzi dan Nor Farhan Muhammad menafikan khabar angin yang mengatakan mereka mahu mengemukakan saman terhadap Kafa berhubung isu tuntutan gaji.

Bibi menambah, tidak wajar untuk meletakkan sepenuhnya kesalahan di bahu KAFA sebaliknya para pemain harus berjuang demi pasukan dan juga penyokong.

“Cuba tanya pada diri pemain, adakah bermain untuk gaji semata-mata, sebaliknya mereka tahu pengorbanan yang telah dilakukan oleh Kafa.

“Saya sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pemain yang belum me­nerima gaji,” kata beliau.

Bibi juga menegaskan ketika ini ada satu gerakan untuk menuntut hutang lama daripada KAFA. Tuntutan itu seolah-olah mahu memberikan tekanan kepada Kafa untuk mendapatkan lesen bagi membolehkan Kelantan bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

“Ada yang datang kepada saya dan menunjukkan mesej (WhatsApp) ada individu yang cuba menghasut pemain untuk me­nuntut hutang.

“Jadi rasanya tidak perlu wujudkan benda macam ini, sebab saya ingin orang yang membantu menyelesaikan kemelut KAFA dan bukan membantu menjadi parasit,” katanya

Apa yang pasti, Bibi perlu segera menyelesaikan isu gaji para pemain agar ianya tidak menggangu fokus pasukan dalam saingan Piala Malaysia 2018. Kelantan akan menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim pada perlawanan ketiga kumpulan C.

Baca Juga: “Kawe Tok Putuh Aso” Bibi Ramjani Ilias Khan

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *