PBSNT Harus Campur Tangan – Datuk Che Mat Jusoh
- Lain-lain
- Feb 4, 2019
- No comment
Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Che Mat Jusoh menggesa persatuan itu supaya ikut campur tangan dalam isu tunggakan gaji pasukan Terengganu City FC.
Datuk Che Mat sebagai badan induk bola sepak negeri, persatuan itu perlu melihat masalah itu secara lebih serius dan perlu campur tangan bagi menyelesaikan masalah itu daripada terus berpanjangan kerana yang menjadi mangsa adalah pemain.
Selain perbincangan membabitkan kelab, persatuan bola sepak daerah dan negeri, Datuk Che Mat berpendapat ihsan kerajaan negeri juga perlu bagi memastikan isu tersebut segera diselesaikan.
“Dalam hal ini, walaupun tanggungjawab sebenar untuk membayar gaji pemain terletak kepada pasukan yang diwakili tetapi PBSNT sebagai bapa kepada ahli gabungan persatuan daerah tidak boleh bersikap lepas tangan sebaliknya perlu campur tangan lebih-lebih lagi kemelut tunggakan gaji itu bagaikan tiada kesudahannya.
“Saya yakin dan percaya kemelut itu mampu diselesaikan jika kelab, persatuan bola sepak daerah dan juga PBSNT duduk semeja mencari pendekatan terbaik secara bijaksana.
“PBSNT harus menyokong jika ada permintaan dan rayuan daripada kelab terbabit serta persatuan bola sepak daerah bagi menyelesaikan kemelut itu termasuk jika ada permintaan untuk mengadakan perjumpaan.
“PBSNT boleh bawa isu ini kepada kerajaan negeri, jika tidak mampu untuk menyelesaikan 100 peratus kemelut gaji pemain, dapat 50 atau 60 peratus pun jadilah, janji disalur terus kepada pemain bukannya melalui kelab.
“Bagaimanapun, saya masih menaruh harapan agar majikan kelab yang diwakili itu mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan tunggakan gaji bekas pemainnya kerana saya percaya pemain sering menanti berita gembira berkaitan itu,” kata Che Mat menurut laporan Berita Harian.
Sebelum ini, pemain Hanelang FC tampil dan menuntut tunggakan gaji mereka yang sudah tertunggak selama lapan bulan iaitu bermula dari bulan Mac hingga November 2018 yang berjumlah RM1.1 juta.
Pengurusan baru Terengganu City FC mahu menyelesaikan tunggakan tersebut asalkan mereka diberikan kuasa penuh oleh pengurusan lama dan pasukan dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini.
Baca Juga: Hutang Lapuk KAFA Ditanggung Pengurusan Baru