PBSNT Tak Kacau Kedudukan Terengganu City FC

Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) menafikan dakwaan mereka mahu menggantikan pasukan Terengganu City FC dalam saingan Liga Perdana musim hadapan.

Setiausaha Eksekutif PBSNT, Mohd Syahrizan Mohd Zain menafikan dakwaan tersebut dan mengatakan pihaknya tidak menghalang pasukan yang digelar The Sharks itu untuk beraksi dalam saingan Liga Perdana musim 2019.

Tambah Syahrizan, perkara tersebut bukan dalam bidang kuasa persatuan dan hanya pengelola liga, Malaysia Football League (MFL) yang boleh membuat keputusan.

“Setakat hari ini (semalam), PBSNT belum menerima sebarang surat berhubung pasukan Terengganu FC II (TFC II) dikekal atau ditawarkan untuk bermain dalam Liga Perdana 2019, begitu juga dakwaan halangan kepada TCFC beraksi seperti yang digembar-gemburkan.

“Selain itu PBSNT tidak pernah menghantar sebarang surat rayuan atau surat untuk tidak membenarkan TCFC beraksi dalam Liga Perdana musim depan.

“Malah PBSNT juga tidak pernah membuat sebarang pertuduhan atau sebarang tuntutan berkaitan kelewatan dan kegagalan pembayaran gaji kepada pemain dan jurulatih skuad itu atau perkara berkaitan urusan perbelanjaan TCFC kepada FAM.

“Namun begitu PBSNT ada beberapa kali menghubungi TCFC melalui setiausahanya untuk memaklumkan supaya kelab itu mengambil tindakan yang sepatutnya bagi menangani masalah dalaman skuad itu,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Syahrizan turut menyatakan tunggakan gaji Terengganu City yang berjumlah RM868,736 dijangka meningkat kerana masih ada jurulatih dan pemain yang menjuarai Piala FAM musim ini belum membuat tuntutan rasmi.

Kemampuan juara Piala FAM 2018 ini untuk beraksi dalam saingan Liga Perdana musim hadapan dipersoalkan setelah mereka masih lagi gagal untuk melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan walaupun sudah diarahkan berulang kali oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

TCFC sebelum ini menyatakan mereka bakal melaksanakan tanggungjawan dengan melunaskan hutang baru secepat mungkin namun tidak memberi jaminan mengenai hutang lama yang dituntut oleh bekas pemain dan pegawai pasukan.

Apa yang pasti, pihak pengurusan TCFC perlu mencari jalan keluar agar mereka boleh melunaskan semua tunggakan gaji sekaligus dapat mengalihkan tumpuan kepada saingan musim 2019.

Baca Juga: Bekas Physio Hanelang Dan TCFC Tuntut Tunggakan Gaji

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *