Peluang Apek Kukuhkan Kedudukan
- Harimau Malaya
- Oct 11, 2018
- No comment
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe memanggil tiga penjaga gol iaitu Haziq Nadzli, Hafizul Hakim dan Khairul Fahmi Che Mat atau Apek bagi perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka dan Kyrgyztan. Setelah beraksi dengan baik pada perlawanan terakhir menentang Kemboja, Khairul Fahmi berpeluang untuk mengukuhkan lagi kedudukan beliau dalam kesebelasan utama.
Tan Cheng Hoe menurunkan Khairul ketika pasukan negara menewaskan pasukan Kemboja dengan keputusan 3-1 di laman sendiri bulan lalu. Walaupun melepaskan gol pada awal permainan, namun penjaga gol Melaka United ini berjaya memperbaiki prestasi beliau.
Khairul Fahmi beberapa kali menyelamatkan pintu gol pasukan negara daripada dibolosi apabila beliau menafikan percubaan yang dilancarkan oleh pemain lawan.
Pada perlawanan menentang pasukan Sri Lanka esok, Khairul Fahmi berkemungkinan kembali menjadi pilihan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan negara bagi mengawal pintu gol sekiranya melihat daripada pengalaman dan prestasi yang ditampilkan ketika di Phnom Penh.
Jika diturunkan, maka Apek boleh menggunakan peluang ini untuk menampilkan persembahan terbaik beliau sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan beliau dalam kesebelasan utama pasukan bagi mengharungi saingan Piala AFF Suzuki 2018.
Apa yang pasti, mana-mana pemain yang diturunkan bagi mengawal pintu gol negara perlu menampilkan persembahan terbaik mereka bagi memastikan Harimau Malaya mencatat keputusan positif dalam persiapan untuk beraksi dalam saingan Piala AFF.
Penting untuk pasukan negara mencatat kemenangan pada bagi tiga perlawanan persahabatan sebelum Piala AFF bermula agar momentum serta moral para pemain berada di tahap terbaik. Setelah turun menentang Sri Lanka dan Kyrgyztan, skuad Harimau Malaya akan menghadapi pasukan Maldives.
Malaysia akan memulakan saingan Piala AFF Suzuki 2018 dengan menentang pasukan Kemboja di laman sendiri pada 8 November nanti. Pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe ini diundi dalam kumpulan A bersama Kemboja, Myanmar, Vietnam dan Laos.
Apa pendapat anda mengenai prestasi Khairul Fahmi Che Mat a.k.a Apek bersama pasukan negara ? Adakah beliau wajar untuk dikekalkan dalam kesebelasan utama ? Atau Cheng Hoe perlu menurunkan penjaga gol lain ?
Baca Juga: Sumareh Tenang Walaupun Tertekan