Peluang Brendan Gan Dan Faiz Nasir Sudah Tertutup
- Harimau Malaya
- Oct 31, 2018
- No comment
Peluang untuk Pemain Terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia 2018, Brendan Gan dan pemain sayap Terengganu FC, Faiz Nasir untuk beraksi bersama pasukan negara pada saingan Piala AFF Suzuki 2018 sudah tertutup rapat.
Perkara ini disahkan oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe dimana beliau berkata seramai 26 pemain yang dipanggil sebelum ini sudah didaftarkan. Jadi, Brendan dan Faiz hanya berpeluang untuk mewakili pasukan negara pada masa akan datang.
“Setakat ini kami telah menyenaraikan 26 pemain jadi mereka mungkin akan mendapatkan peluang mereka di masa yang akan datang.,” katanya kepada Stadium Astro.
Perkara ini sudah pasti disayangkan memandangkan Brenda dan Faiz menampilkan satu prestasi yang cemerlang untuk pasukan masing-masing dalam saingan Liga Malaysia musim ini. Brendan dan Faiz memainkan peranan penting dalam perjalanan pasukan mereka mara ke perlawanan akhir.
Pada perlawanan akhir Sabtu lalu, kedua-dua pemain ini menjadi nadi utama pasukan dalam memastikan pasukan mereka terus bersaing sekaligus mencari jaringan. Anda tentu masih ingat bagaimana Brendan menghancurkan hati peminat Terengganu FC dengan gol penyamaan pada minit-minit akhir perlawanan.
Manakala Faiz Nasir pula membuat satu larian pantas pada masa tambahan dan kemudiannya menjaringkan salah satu gol terbaik dalam sejarah perlawanan akhir Piala Malaysia. Hanya saja nasib tidak berpihak kepada pasukan beliau pada Sabtu lalu.
Amat disayangkan apabila peluang kedua-dua pemain untuk beraksi bersama skuad kebangsaan sudahpun tertutup. Setelah lama tidak beraksi bersama pasukan negara kerana kecederaan serius, Piala AFF merupakan peluang terbaik bagi Brendan untuk kembali menyumbang sesuatu buat pasukan Malaysia.
Bagi Faiz pula, Piala AFF edisi kali ini menjadi platform terbaik bagi beliau untuk membuktikan kemampuan yang dimiliki bersama pasukan negara sekaligus beraksi dalam kejohanan kompetitif pertama bersama pasukan kebangsaan.
Apa yang pasti, pemain sedia ada perlu menampilkan aksi terbaik mereka seterusnya membantu Malaysia membawa pulang trofi Piala AFF Suzuki edisi kali ini.
Baca Juga: Malaysia – Dari AFC Ke OFC, Mungkinkah ?