Peluang Menguji Kekuatan Akan Tertutup – Tan Cheng Hoe

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe berpendapat Liga Negara-Negara Asia bakal menutup peluang pasukan negara untuk menguji sejauh masa kekuatan yang dimiliki oleh pasukan.

Cheng Hoe berkata demikian memandangkan Malaysia akan diletakkan dalam Liga C jika Liga Negara-Negara Asia dilaksanakan dan perkara ini akan menafikan peluang pasukan negara untuk bertemu dengan pasukan yang lebih handal bagi menguji kekuatan.

“Langkah itu sememangnya satu cadangan yang baik kerana ia membolehkan pasukan beraksi dengan lebih kompetitif,” kata Cheng Hoe. “Tetapi jika dilihat mengikut kategori, mungkin kita akan beraksi dalam Liga C.

“Jadi kita tiada pilihan untuk bermain perlawanan persahabatan dengan pasukan yang lebih kuat daripada kita. Pemain perlu beraksi menentang pasukan yang lebih baik untuk menunjukkan peningkatan.

“Dengan beberapa pasukan Asia Tenggara juga dalam kategori sama, mungkin ini akan memberi kekurangan kepada kita pada masa akan datang,” kata Cheng Hoe kepada Berita Harian.

Sebelum ini, Berita Harian melaporkan bahawa Malaysia terpaksa berada di Liga C jika Liga Negara-Negara Asia dijalankan kerana kedudukan pasukan negara dalam ranking semasa FIFA yang berada di ranking yang sedikit rendah berbanding kuasa besar bola sepak Asia yang lain.

Dalam Liga C tersebut, pasukan negara akan beraksi menentang pasukan seperti Turkmenistan, Yaman, Myanmar, Hong Kong, Afghanistan, Maldives, Kuwait, Nepal, Indonesia dan Singapura. Untuk makluman, Liga C akan diisi oleh pasukan yang berada di rangking ke-25 hingga ranking ke-36.

Semua pasukan dalam setiap liga akan diundi untuk mengisi empat kumpulan kecil (1, 2, 3, 4) kecuali Liga D yang menampilkan tiga kumpulan sahaja sekali gus menyaksikan Malaysia berpeluang besar untuk mengelak bertemu sesama negara Asia Tenggara selepas undian dijalankan nanti.

Apa yang pasti, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) perlu melakukan kajian dari segala aspek tentang pelaksanaan Liga Negara-Negara Asia ini. Sama ada mereka akan mengikuti format seperti yang digunakan oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) atau mengubah sedikit format sedia ada.

Baca Juga: Liga Negara-Negara Hadkan Pilihan Jurulatih

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *