Peluang Untuk Pemain Baru Menyinar
- Harimau Malaya
- Mar 24, 2018
- No comment
Keputusan seri ketika menentang Mongolia nyata meninggalkan kesan yang tersendiri dalam hati setiap peminat bola sepak tanah air. Belum cukup dengan keputusan seri, peminat dikejutkan dengan menghilangnya 14 pemain Johor Darul Ta’zim daripada skuad kebangsaan. Kami berpendapat ini adalah peluang pemain baru untuk menyinar.
Sebagai pengganti, Tan Cheng Hoe membawa 9 pemain baru bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain JDT. Ada tiga pemain daripada skuad bawah 23 Tahun negara yang dipanggil oleh TCH. Enam pemain lagi merupakan pemain senior dan ada juga yang pernah mewakili skuad kebangsaan seperti Zaquan Adha dan Nazirul Naim.
Ini adalah satu peluang keemasan buat mereka untuk membuktikan bahawa mereka sudah sedia untuk menggalas cabaran di peringkat antarabangsa. Kami tertarik dengan pemanggilan Nor Hakim Hassan, Shahril Sa’ari dan Syawal Nordin. Ketiga-tiga pemain ini bermain dengan baik buat pasukan masing-masing dalam saingan Liga Super. Jadi menarik untuk kita saksikan persembahan mereka.
Penyerang terbaik Liga Malaysia musim lalu, Shahrel Fikri juga masuk dalam senarai pemain gantian kali ini. Meskipun mengalami kecederaan pada awal musim ini, namun prestasi Eki pada akhir-akhir ini nyata menambat hati Tan Cheng Hoe untuk menyenaraikan beliau. Berkemungkinan besar Eki akan bersaing dengan Jafri Firdaus Chew.
Cabaran yang perlu dihadapi oleh Tan Cheng Hoe adalah membentuk gandingan mantap dalam tempoh masa kurang dari seminggu. Akan tetapi, perkara tersebut tidak akan menjadi halangan sekiranya semua pemain memberi kerjasama yang baik serta memberikan sepenuhnya fokus mereka terhadap persiapan kali ini.
Kami yakin dengan barisan pemain yang sedia ada, kita mampu untuk mengutip hasil posistif daripada perlawanan menentang Lebanon dan juga Nepal. Lupakan saja perkara yang telah berlaku. Jadikan ia sebagai satu ikhtibar. Berikan sepenuh perhatian anda kepada dua perlawanan ini. Nescaya kita mampu untuk mengutip keputusan yang positif.
Apa pendapat anda ? Mampukah skuad negara mengutip kemenangan dengan menggunakan barisan pemain sedia ada ?
Baca Juga: Tak Patut Beri Respon Sebegitu