Pemain Dan Pegawai Kuantan FA Tuntut Tunggakan Gaji
- Liga Perdana
- Nov 2, 2018
- No comment
Pemain dan pegawai Kuantan FA menuntut agar pihak pengurusan pasukan segera melunaskan tunggakan gaji selama 13 bulan yang sudah tertangguh selama tiga tahun.
Jurucakap kepada bekas pemain dan pegawai Kuantan FA, Rizal Budiman mendakwa biarpun telah banyak kali masalah itu disuarakan kepada pihak pengurusan pasukan, namun tiada sebarang maklum balas dan tindakan susulan yang dilakukan sehingga ke hari ini.
“Masalah gaji ini mula timbul sejak 2016 yang ketika itu tertunggak sebanyak dua bulan namun kami pegawai dan pemain masih tidak membuat apa-apa tindakan kerana berpegang dengan janji pihak pengurusan untuk penyelesaian masalah itu.
“Namun sehingga tahun ini tunggakan gaji telah mencecah 12 bulan dan mereka masih menyepi sehingga kini,” kata Rizal kepada mStar.
Bekas Penolong Jurulatih Penjaga Gol Kuantan FA, Mohd Rosfaizul Mohd Azuar Ali pula berkata masalah berkenaan turut dimaklumkan kepada pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada awal tahun lepas.
“Ketika itu, hanya enam pemain yang tampil membuat laporan manakala selebihnya masih menanti janji yang diberikan pihak pengurusan untuk melunaskan gaji kami,” kata Rosfaizul.
Setelah laporan dibuat kepada FAM, badan induk bola sepak negara itu kemudiannya mengarahkan Kuantan FA melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai namun setakat ini hanya enam pemain sahaja yang gajinya dilunaskan sepenuhnya.
Manakala 15 pemain lagi hanya mendapat gaji selama dua bulan dan masih lagi menunggu baki tunggakan gaji.
Sementara itu, katanya satu laporan polis juga telah dibuat berkenaan permasalahan itu di Balai Polis Sri Jaya, Maran petang semalam yang membabitkan seramai 26 senarai nama pegawai dan pemain.
Kuantan FA dibubarkan sekaligus penyertaan mereka dalam saingan Liga Malaysia 2018 terbatal apabila mereka gagal turun beraksi menentang PDRM dalam saingan Liga Perdana di Stadium Shah Alam pada 15 April lalu.
Apa yang pasti, pihak pengurusan Kuantan FA perlu segera mencari jalan penyelesaian bagi melangsaikan tunggakan gaji bekas pemain dan juga pegawai pasukan. Mereka mempunyai kehidupan peribadi yang perlu diberi perhatian dan tunggakan gaji ini telah mengganggu kehidupan mereka.
Baca Juga: Sathia Berang Gaji Dipotong