Pemain Hanelang FC Tuntut Tunggakan Gaji

Isu tunggakan gaji pasukan yang bersaing dalam saingan Piala FAM musim lalu dimana pemain Hanelang FC kini tampil menuntut tunggakan gaji mereka selama lapan bulan kepada pihak pengurusan pasukan.

Pemain Hanelang dikatakan tidak menerima gaji bermula bulan Mac hingga bulan Oktober 2018. Ini bermakna para pemain tidak menerima sebarang bayaran pada sebahagian besar saingan musim 2018.

Lebih mengeruhkan keadaan, para pemain hanya diberikan janji palsu oleh pengurusan pasukan biarpun aduan sudah dibuat kepada FAM (Persatua Bolasepak Malaysia) dan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

“Kesabaran kami kini sudah mencapai tahap kemuncak selepas sekian lama menunggu bagaikan buah tidak gugur berikutan kedegilan pihak pengurusan membayar gaji.

“Kami tampil menghubungi Sukan NSTP tidak berniat memalukan sesiapa tapi hanya meluahkan keadaan sebenar melanda kami selain menuntut pihak pengurusan membayar tunggakan gaji kami yang sudah berlarutan hampir setahun sejak Mac tahun lalu,” kata bek kiri skuad itu, Mohd Faizal Mansor kepada Berita Harian.

Tambah Faizal lagi, beliau terpaksa meminta ihsan daripada rakan dan juga saudara-mara untuk meneruskan hidup sepanjang lapan bulan tidak menerima sebarang gaji.

“Kehidupan begitu perit, kadang kala air mata mengalir mengenangkan ketika itu isteri saya sakit dan sudah pasti perlu menjalani rawatan susulan secara kerap, saya juga terpaksa membayar sewa rumah selain perbelanjaan harian dan sebagainya.

“Keperitan kami siapa yang tahu? Malah kadang kala saya terpaksa bekerja sebagai tukang rumah, baiki paip, tolong rakan demi kelangsungan hidup.

“Sekarang saya sekeluarga masih mampu membayar sewa rumah, tapi tidak mustahil saya akan dihalau keluar rumah suatu hari nanti jika pihak pengurusan terus membisu.

“Justeru kami merayu majikan membayar tunggakan gaji kami seberapa segera kerana kami sudah lama mengadu kepada FAM sejak November lalu dan badan induk bola sepak negara itu sudahpun mengeluarkan arahan kepada majikan untuk melunaskan tunggakan gaji namun sampai sekarang ‘habuk’ pun tiada,” tambah bekas pemain Johor Darul Ta’zim dan DRB-Hicom ini.

Baca Juga: PFA Bayar Tunggakan Gaji Mac Ini

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *