Pemain Miliki Kelebihan Tersendiri – Zaquan Adha
- Harimau Malaya
- Sep 6, 2018
- No comment
Ketua pasukan skuad kebangsaan, Zaquan Adha menganggap pemain yang dibawa oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe bagi menghadapi Taiwan pada esok mempunyai kelebihan yang tersendiri.
Menurut Zaquan, status yang dimiliki pemain tidak penting sebaliknya jiwa Malaysia perlu ada dalam setiap pemain untuk menyarung jersi keramat Harimau Malaya.
“Saya percaya setiap pemain ada kelebihan masing-masing, Safawi (Rasid) ada kelebihannya, Syafiq (Ahmad) ada kelebihannya dan pemain yang ada bersama pasukan sekarang juga ada kelebihan masing-masing.
“Saya yakin dengan pemain yang ada, masing-masing ada kelebihan tersendiri, yang penting keharmonian dalam pasukan dan jiwa untuk bermain demi negara itu lebih penting untuk mencapai kemenangan,” kata Zaquan kepada Berita Harian.
Tan Cheng Hoe berangkat ke Taiwan tanpa kelibat beberapa pemain tonggak seperti Safawi Rasid, Adam Nor Azlin dan Syafiq Ahmad kerana ketiga-tiga pemain ini meminta pelepasan selepas menempuhi banyak perlawanan bersama kelab dan juga negara.
Manakala pemain senior, Norshahrul Idlan Talaha pula tidak dapat menyertai pasukan kerana mahu menyelesaikan masalah keluarga.
Untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan, Cheng Hoe memanggil beberapa pemain muda yang sebelum ini beraksi bersama pasukan bawah 19 dan 23 tahun negara dalam temasya AFF Bawah 19 Tahun dan Sukan Asia 2018.
Tambah Zaquan, pemain muda dan juga pemain yang baru sahaja dipanggil perlu menunjukkan kerja keras ketika sesi latihan bagi menunjukkan bahawa mereka layak untuk beraksi untuk negara.
“Betul, pemain perlu ambil serius. Dalam latihan pemain kena tunjukkan bakat untuk beraksi di peringkat antarabangsa, jika diberi peluang tapi tak guna itu satu kerugian kerana bermain dengan skuad kebangsaan akan beri impak dan tingkatkan tahap kita.
“Insya-Allah, saya harap dapat beraksi semula bersama pasukan kebangsaan, perlawanan persahabatan ini penting untuk memperbaiki ranking kita sebelum ke Piala AFF,” tambah Zaquan.
Selepas menentang Taiwan, anak-anak buah Tan Cheng Hoe akan terbang ke Phnom Penh bagi aksi persahabatan antarabangsa kedua menentang Kemboja pada 10 September ini.
Baca Juga: Tan Cheng Hoe Tenang Meskipun Diberikan Tekanan