Pemain Perlis Buat Laporan Polis Terhadap PFA
- Liga Perdana
- Feb 26, 2019
- No comment
Kemelut Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) kini memasuki babak baru apabila seramai 18 pemain pasukan Perlis Northern Lions 2 membuat laporan polis terhadap persatuan itu berhubung dakwaan penipuan kontrak dan penyelewengan wang pemain.
Bekas Kapten PNL2, Ezzrul Ikmanizar Abd Rahman berkata, dia mewakili 17 pemain lagi membuat laporan polis ke atas bekas Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie dan timbalannya, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan.
Menurut Ezzrul, kedua-dua mereka bertanggungjawab di atas kemelut yang melanda PNL2 sehingga menyebabkan kebanyakan pemain pasukan itu kini hilang pekerjaan.
“Laporan ke atas Datuk (Ahmad Amizal) dibuat kerana dia menjanjikan kontrak semusim dan kami semua diarahkan untuk menandatanganinya namun dia sendiri memungkirinya.
“Dia sendiri mengaku bahawa kontrak kami itu tidak sah kerana dia tidak menandatanganinya.
“Perkara ini terbongkar pada 25 Januari lalu dalam pertemuan tertutup antara dia dan kami di sebuah hotel di daerah ini dan selama hampir dua bulan ini kami menjalani latihan secara buta,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Tambah Ezzrul, Mohd Abdul Karim Khan didakwa menyeleweng lebih RM11,000 wang pemain PNL2 dengan alasan untuk membayar gaji barisan kejurulatihan 18 pemain.
“Namun selepas diperiksa oleh kami sendiri terhadap jurulatih, mereka tidak menerima sebarang bayaran seperti didakwa Karim malah dia turut mengutip RM500 setiap jurulatih untuk satu transaksi yang tidak jelas.
“Jadi kami nak tahu wang itu ke mana dan saya harap pihak polis menyiasat perkara ini. Bagi pihak pengurusan Liga Malaysia pula, saya harap mereka mengambil perhatian akan isu ini dan selesaikanlah dengan kadar segera,” tambahnya.
Selepas penyingkiran pasukan Perlis dari saingan Liga Perdana musim ini, kritikan pedas dilontarkan oleh ramai pihak khususnya peminat setia pasukan kepada bekas presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal.
Ahmad Amizal dianggap telah menconteng nama baik bola sepak Perlis dan gagal untuk mengotakan janji yang ditabur ketika awal mula mengisi kerusi panas PFA. Setelah Perlis disingkirkan dari saingan Liga Perdana, Amizal kemudiannya mengambil keputusan untuk meletak jawatan.
Baca Juga: Wang Jualan Tiket Pasukan Perlis Lesap ?