Pemain Sarawak Empat Bulan Tidak Dibayar Gaji

Kemelut kewangan yang melanda pasukan Sarawak kini memasuki babak baru apabila pemain pasukan itu dikhabarkan sudah empat bulan tidak dibayar gaji.

Lebih parah, campur tangan pihak tertentu yang tidak berkenan dengan perancangan yang dilakukan oleh ketua jurulatih, Ian Gillan mengeruhkan lagi keadaan.

Pada perlawanan Piala Cabaran 2018 menentang Terengganu FC II Rabu lalu skuad Bujang Senang hanya membawa 13 pemain sahaja. Pemain import pasukan dikatakan enggan turun beraksi kerana gaji yang tidak dibayar oleh pengurusan.

Ian Gillan nyata kecewa dengan kemelut yang berlaku kerana ianya telah mengganggu persiapan pasukan sekaligus mengganggu perancangan beliau dalam membentuk skuad terbaik.

“Isu tunggakan gaji menghimpit Sarawak menyebabkan ramai pemain import dan tempatan tawar hati meneruskan perjuangan mereka bersama pasukan.

“Pasukan tidak dibayar gaji selama tiga bulan, malah ada sebahagian pemain tidak menerima gaji sejak empat bulan lalu dan perkara ini menjejaskan persiapan untuk membentuk pasukan,” katanya kepada Harian Metro.

Tambah Gillan, kehadiran beliau ke dalam pasukan Borneo itu tidak disenangi oleh pihak tertentu kerana pembaharuan dan perubahan yang dilakukan oleh beliau.

“Sepatutnya mereka bersama saya untuk pembangunan bola sepak di Sarawak dan bukannya menghancurkan usaha untuk memartabat sukan nombor satu di negara ini,” tambah beliau.

Apa yang pasti, pengurusan pasukan perlu segera mencari jalan penyelesaian bagi membayar gaji pemain yang sudah empat bulan tertunggak. Meskipun perjalanan pasukan dalam saingan Piala Cabaran 2018 sudah berakhir, namun pengurusan perlu memberikan apa yang sepatutnya menjadi hak pemain.

Selain itu, penting untuk skuad Bujang Senang menyelesaikan pembayaran gaji pemain agar mereka tidak dihukum oleh Malaysia Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjelang permulaan musim 2019.

Apa pendapat anda mengenai krisis kewangan pasukan Sarawak sehingga menyebabkan pemain mereka tidak dibayar gaji selama empat bulan terakhir ? Mampukah Sarawak menyelesaikan tunggakan gaji pemain sekaligus mengelak daripad dihukum oleh MFL dan FAM ?

Baca Juga: Adakah Piala Malaysia Sabah Yang Punya ?

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *