Pemain Sedia Maklum Mengenai Gaji Lewat – Taj
- Liga Perdana
- Jan 17, 2019
- No comment
Pemain pertahanan pasukan Perlis, Amiridzwan Taj Tajudin menyatakan beliau dan rakan-rakan sudah sedia maklum mengenai pembayaran gaji yang sedikit lewat kerana perkara itu sudah dimaklumkan lebih awal oleh pihak pengurusan.
Menurut Amiridzwan, sama seperti pemain Perlis Northern Lions 2, mereka sepatutnya menerima gaji pada 7 Januari lalu. Namun, atas masalah urusan dengan pihak bank, pembayaran itu terpaksa ditangguhkan. Semua pemain skuad Liga Perdana telah diberi maklum dan tiada sebarang isu mengenai pembayaran gaji yang lewat ini.
“Dalam kalangan kami tidak ada isu lah, tetapi membabitkan soal pemain Perlis Northern Lions 2, kita pun tidak tahu apa perbincangan mereka dengan pihak pengurusan.
“Mungkin dalam soal ini ada yang betul di sebelah pengurusan dan mungkin ada yang betul di sebelah pemain. Saya faham dalam kalangan pemain (Perlis Northern Lions 2) yang mengeluh tidak dapat gaji ini.
“Di sebelah pengurusan, para pemain ini yang sudah ikat kontrak arahan turun latihan mesti kena ikut sebab itu tanggungjawab kita meskipun latihan tersebut di Kuala Lumpur,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Sebelum ini, seramai 18 pemain tampil dengan pendedahan dimana mereka belum menerima tunggakan gaji seperti yang dijanjikan oleh persatuan itu. Lebih menyedihkan, ada yang bekerja sebagai nelayan, buruh kasar dan berniaga kecil-kecilan bagi menampung kos sara hidup.
Susulan pendedahan tersebut, PFA memberikan maklum balas dimana mereka menegaskan persatuan tidak pernah lepas tangan berhubung isu tunggakan gaji yang melibatkan 18 pemain yang beraksi bersama Perlis.
Timbalan Presiden PFA, Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan berkata pihaknya kecewa dengan dengan tindakan segelintir pemain yang membuat kenyataan media berhubung isu tersebut.
Tambah bekas pemain Kelantan dan ATM ini, pemain yang terbabit mungkin berada dalam keadaan terlalu ‘sempit’ sehinggakan mereka tidak mampu untuk menyertai sesi latihan pasukan yang diadakan di Kuala Lumpur.
“Sebaiknya isu tersebut perlu diselesaikan antara mereka dengan pihak pengurusan supaya perkara ini tidak berlarutan dan merencatkan fokus Singa Utara,” tambahnya.
Baca Juga: MFL Memantau Isu Tunggakan Gaji Perlis