Pemain Senior Atau Pengurusan Pasukan Yang Berkuasa Ni ?

Apabila presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan menyatakan bahawa pemain senior, Khairul Fahmi Che Mat dan Badhri Radzi tiada dalam perancangan Fajr Ibrahim dan akan dilepaskan, peminat Kelantan memberikan bermacam-macam reaksi.

Ada yang setuju dan ada juga yang masih berpendapat kedua-dua pemain ini masih mempunyai kudrat untuk disumbangkan. Namun, ketika Bibi membuat kenyataan berkenaan situasi kedua pemain ini, ada satu perkara yang menarik perhatian penulis.

Menurut kenyataan yang disiarkan di foxsportasia.com, Bibi Ramjani menukar jurulatih sebelum ini, Sathit Bensoh dengan Yusri Che Lah kerana mahu memuaskan hati pemain senior dalam pasukan.

Di sini, adakah pemain senior lebih berkuasa hinggakan pengurusan harus memuaskan hati mereka ? Adakah mereka lebih berkuasa daripada pengurusan pasukan untuk membuat sebarang keputusan ?

Bibi juga menambah bahawa pasukan sebelum ini menghadapi masalah dimana pemain senior menunjukkan rasa tidak puas hati kepada jurulatih sebelumnya. Hebat betul otai ni sampai boleh protes sesuka hati dan juga kena puaskan hati mereka.

Sudah pasti perkara seperti ini adalah satu perkara yang tidak sihat kepada Liga dan juga pasukan itu sendiri. Walaupun anda ini pemain otai dalam pasukan, tidak bermakna anda boleh berbuat sesuka hati. Tiada pemain yang lebih besar daripada kelab.

Penulis memuji tindakan Bibi Ramjani yang mengenal pasti masalah ini dan mengambil jalan penyelesaian yang mengutamakan pasukan, bukannya pemain. Walaupun kedua-dua pemain ini sudah lama beraksi dengan pasukan, namun untuk kemajuan pasukan Kelantan sendiri, Bibi mengambil satu keputusan yang menjaga kepentingan pasukan.

Adakah permasalahan seperti pemain senior lebih berkuasa berbanding pengurusan pasukan juga berlaku pada pasukan yang lain dalam saingan Liga Malaysia ? Mungkin ya dan mungkin tidak. Penulis sendiri juga tidak tahu.

Tapi apa yang penting, gejala seperti ini diharapkan dapat diselesaikan dengan segera bagi memastikan keharmonian pasukan dapat dijaga dan kemajuan pasukan itu sendiri berada di landasan yang betul.

Baca Juga: Kita Akan Melihat Generasi Baru Pasukan Kelantan ?

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *