Pemain Terengganu City FC Lancarkan Mogok
- Lain-lain
- Jan 25, 2019
- No comment
Masalah yang dihadapi oleh pasukan Terengganu City FC nampaknya bertambah apabila para pemain dikhabarkan melancarkan mogok dengan enggan turun untuk menjalani latihan.
Pemain berbuat demikian kerana kecewa dengan pihak pengurusan pasukan yang sehingga kini belum melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai. Mereka juga sudah muak dengan janji manis yang ditabur oleh pihak pengurusan mengenai isu gaji mereka.
Bekas ketua jurulatih Terengganu City, Roshadi Wahab berkata setelah mengetahui Terengganu City tidak dibenarkan beraksi di saingan Liga Perdana musim ini, pemain seolah-olah melancarkan mogok dan sudah tiada hati untuk turun berlatih.
“Bagaimanapun selepas pemain mengetahui skuad itu diharamkan beraksi dalam saingan liga kerana tidak cukup syarat termasuk tidak membayar gaji pemain, pemain sudah tawar hati untuk berlatih.
“Berikutan itu kelab ini juga sudah ‘berkubur’, ada beberapa pemain mencuba nasib dengan pasukan lain selain ada yang mencari pekerjaan lain.
“Bagaimanapun saya difahamkan ada lagi sebahagian pemain masih setia dengan kelab itu menunggu berita gembira walaupun secara dasarnya pasukan itu tidak dibenarkan beraksi dalam kancah liga divisyen dua itu.
“Apa yang kami harapkan baik pengurusan lama atau baharu kelab harus dan wajib membayar gaji kami bukannya mengambil sikap lepas tangan selepas keputusan FAM itu,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Terengganu City FC tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini setelah mereka gagal untuk melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai dalam jangka masa yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu dari tarikh mereka memenangi Piala FAM 2018 sehingga 29 September 2018.
Baru-baru ini, pengurus pasukan TCFC, M Rezal Abu Bakar berkata pengurusan baru pasukan bersedia untuk melunaskan tunggakan gaji jika FAM mengembalikan semula hak mereka iaitu beraksi di Liga Perdana musim ini.
Namun, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam membalas kenyataan tersebut dengan berkata badan induk itu tetap dengan pendirian tidak membenarkan TCFC beraksi di Liga Perdana dan memberikan amaran supaya tidak mengugut FAM.
Baca Juga: FAM Tetap Dengan Pendirian – Stuart Ramalingam