Pemain Yang Dipilih Menepati Cita Rasa – TCH

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe menjelaskan 26 pemain yang dipanggil baru-baru ini untuk menyertai kem latihan pusat pasukan kebangsaan menepati cita rasa beliau dan dianggap mampu untuk beraksi dengan baik.

Tan Cheng Hoe menegaskan beliau memanggil 26 pemain itu kerana sudah ada bayangan tentang barisan pemain yang akan dibawa bagi menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2018 pada November ini.

“Setiap jurulatih ada perancangan tersendiri, begitu juga saya apabila saya memanggil 26 pemain untuk persediaan kerana saya sudah ada bayangan pemain untuk ke Piala AFF 2018.

“Saya kira mereka pemain terbaik bagi setiap posisi yang diperlukan dan sesuai dengan taktikal serta corak permainan yang akan saya terapkan.

“Ini bukan bermakna pemain yang tidak terpilih itu tidak bagus, jadi saya harap mereka akan terus bekerja keras kerana saya sedia memberi peluang kepada mereka untuk menyertai tugasan antarabangsa selepas ini,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Cheng Hoe berkata demikian setelah beberapa pihak mempersoalkan keputusan beliau untuk tidak memanggil seorang pun pemain dari Terengganu FC. Peminat bola sepak tanah air merasakan pemain sayap TFC, Faiz Nasir layak untuk dipanggil berdasarkan prestasi beliau musim ini.

Bekas pengendali Kedah ini menambah perlawanan persahabatan menentang Maldives akan digunakan sebagai medan untuk mencari gandingan terbaik menuju ke saingan Piala AFF.

“Aksi bertemu Maldives adalah perlawanan ujian terakhir buat saya dan pemain. Jadi saya harap dapat menemui gandingan terbaik sebelum ke Piala AFF,” tambah Cheng Hoe.

Cita rasa Tan Cheng Hoe dalam memilih pemain diharapkan dapat menghadirkan kejayaan buat pasukan negara tatkala harapan peminat untuk melihat Harimau Malaya kembali digeruni di peringkat antarabangsa cukup tinggi.

Senarai akhir 23 pemain akan diumumkan oleh Tan Cheng Hoe selepas perlawanan persahabatan menentang pasukan Maldives sekaligus menyaksikan tiga pemain akan digugurkan.

Apa yang penting, pemain yang tersenarai dalam skuad akhir diharapkan dapat memberikan persembahan terbaik mereka bagi memastikan Malaysia mampu untuk mencabar trofi Piala AFF Suzuki edisi kali ini.

Baca Juga: 4 Pemain Yang Seharusnya Dipanggil Oleh Tan Cheng Hoe

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *