Pembaharuan Demi Kebaikan Pasukan – SAFA
- Liga Perdana
- Feb 27, 2019
- No comment
Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) menegaskan pembaharuan yang dilakukan oleh persatuan itu adalah untuk kemajuan sukan bola sepak di negeri itu dan bukannya bersifat peribadi.
Pemangku Presidennya, Datuk Peter Anthony berkata pihaknya mahu memastikan pasukan utama dapat diurus dengan baik terutama dari segi bayaran gaji pemain, insentif, imbuhan yang akan diberikan dan juga keperluan lain.
“Kita tahu kedudukan kita (pasukan Sabah) sebelum ini tidak begitu baik kerana banyak masalah timbul termasuk kewangan sehingga menyusahkan pemain serta pasukan, namun masalah ini berjaya diselesaikan selepas pengurusan baharu masuk (ambil alih pentadbiran SAFA).
“Sudah pasti kita tidak boleh memuaskan hati semua penyokong kerana bukan semua mempunyai pandangan sama dan saya percaya ada sesetengah penyokong masih menyokong kerajaan atau pasukan yang lama.
“Bagaimanapun kita sentiasa bersikap terbuka dan mengalu-alukan mereka sekiranya mahu bersama-sama dengan kita untuk memajukan bola sepak di negeri ini,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Baru-baru ini, beberapa kelab penyokong Sabah mengadakan kempen memboikot setiap aksi pasukan itu yang diadakan di Stadium Likas.
Tindakan itu dipercayai kerana tidak berpuas hati dengan beberapa pembaharuan yang dilakukan oleh SAFA termasuk berkaitan maskot pasukan, warna jersi serta peraturan baharu yang dilaksanakan persatuan itu seperti membawa kain rentang dan membawa alatan musik seperti gendang.
Tambah Peter Anthony, kelab penyokong Tambadau Sabah itu kini mempunyai kira-kira 800 ahli dan ia dijangka bertambah dalam masa ke semasa.
“Antara kelebihan menjadi ahli kelab ini termasuk pemberian pas bermusim kepada ahli yang mendaftar lebih awal dan mereka juga berpeluang untuk ‘terbang’ bagi menyaksikan perlawanan di gelanggang lawan,” katanya. Sementara itu, Liawas berkata, tujuan penubuhan kelab penyokong itu bukan untuk membezakan mereka dengan kelab penyokong lain.
“Hasrat kami semata-mata untuk menyokong pasukan Sabah, kami tidak pernah membezakan apatah lagi memusuhi kelab penyokong lain, tujuan kita semua adalah sama iaitu menyokong pasukan kesayangan kita,” ujarnya.
Baca Juga: Abdul Karim Khan Buat Laporan Polis