Penantian 18 Tahun Berakhir!
- Piala Malaysia
- Oct 28, 2018
- No comment
Penantian selama 18 tahun untuk menjulang Piala Malaysia akhirnya berjaya diakhiri oleh pasukan Perak apabila mereka menewaskan pasukan Terengganu FC di perlawanan akhir sebentar tadi dengan keputusan 3-1 menerusi sepakan penalti setelah perlawanan sebenar tamat dengan keputusan 3-3.
Terengganu FC terlebih dahulu berada di hadapan apabila Idris Karim melakukan kesilapan mudah ketika mahu menghantar bola kepada Hafizul Hakim dimana hantaran lemah beliau berjaya dipintas oleh Kipre sekaligus membuka tirai jaringan.
Perak kemudiannya menggandakan usaha untuk mendapatkan gol penyamaan. Pemain tengah, Leandro Dos Santos berjaya menanduk masuk bola namun gol beliau dinafikan oleh pengadil perlawanan. Kipre sekali lagi menjaringkan gol apabila Hafizul tidak berjaya mengeluarkan bola dengan baik. Separuh masa pertama tamat dengan Terengganu berada di hadapan.
Memasuki separuh masa kedua, Firdaus Saiyadi menjaringkan gol pertama Perak sekaligus merapatkan kedudukan. Setelah berjaya mendapatkan satu gok, Perak terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Gilmar Da Silva dilayangkan kad merah.
10 minit berselang, Lee Tuck pula dibuang padang setelah dilayangkan kad kuning kedua. Pada masa tambahan separuh masa kedua, Brendan Gan berjaya menamatkan kedudukan menjadi 2-2 dan perlawanan diheret ke tambahan masa.
Pada 30 minit tambahan masa, Faiz Nasir berjaya meletakkan Terengganu di hadapan namun kesilapan Igor Zonjic yang tertampan bola ke gawang sendiri menyebabkan keputusan menjadi 3-3 dan perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti.
Hafizul Hakim menjadi wira Perak dimana beliau berjaya menafikan dua sepakan penalti yang diambil oleh Igor Zonjic dan Thierry Chanta-Bin sebelum Leandro menjaringkan penalti kemenangan buat Perak.
Penantian pasukan Perak selama 18 tahun untuk menjulang Piala Malaysia akhirnya berakhir dengan kemenangan ke atas Terengganu.
Tahniah diucapkan kepada Perak!
Baca Juga: Perak Jadi Pilihan Untuk Muncul Juara