Penarikan Diri Pasukan Petanda Positif – KAFA
- Liga Perdana, Liga Super
- Jan 2, 2019
- No comment
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menganggap penarikan diri beberapa pasukan dari saingan Liga Malaysia musim 2019 adalah satu petanda positif.
Menurut Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, beliau melihat penarikan diri beberapa pasukan sebagai petanda positif kerana perkara ini akan memaksa lambakan pemain yang dilepaskan menerima apa saja nilai tawaran yang diberikan oleh pasukan. Lantas penetapan gaji siling tidak perlu dilaksanakan.
“Gaji siling ini bagus tapi saya rasa dah tak perlu dilaksanakan sebab banyak pasukan sudah tutup sebab masalah kewangan.
“Ia sama dengan istilah permintaan melebihi penawaran. Apabila permintaan berlebihan daripada pemain yang mencari pasukan baharu, tetapi penawaran pula berkurangan sekarang kerana banyak pasukan yang ‘tutup kedai’.
“Jadi, saya merasakan, pemain sudah tak boleh ‘demand’ atau nak letak harga yang tinggi sebab pasukan sudah makin sedikit. Nak tak nak, pemain kena terima walaupun mungkin gaji sedikit rendah daripada sebelumnya untuk memastikan mereka terus beraksi,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Sebelum ini, beberapa pasukan terpaksa menarik diri daripada bertanding dalam saingan Liga Malaysia musim 2019 kerana menghadapi kekangan kewangan yang serius. Antara pasukan yang menarik diri ialah naib juara Liga Perdana musim lalu, Felcra FC.
Felcra terpaksa menarik diri walaupun mereka mendapatkan satu slot untuk beraksi dalam saingan Liga Super kerana kekangan kewangan yang dihadapi oleh persatuan itu. Tempat mereka diisi oleh MISC-Mifa yang menamatkan saingan Liga Perdana di tempat ketiga.
Penetapan gaji siling yang disokong oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) nyata mendapat tentangan daripada pemain dan juga pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL). Ketua pasukan kebangsaan, gaji siling tidak realistik kerana jangka hayat pemain bola sepak tidak terlalu panjang.
“Hayat pemain bola sepak tak lama, bila sudah berusia atau mengalami kecederaan tentu dah tak laku.
“Main bola sepak ini ada jangka hayatnya. Ia bukan pekerjaan macam cikgu, jurutera, doktor yang akan kekal hingga pencen umur 60 tahun. Tapi bola sepak lain.
“Bila dah masuk umur 30 tahun ke atas, itu dah kira penghujung kerjaya sebagai pemain bola. Itu belum kira jika ada yang mengalami kecederaan teruk dan akhirnya terpaksa gantung but lebih awal,” kata Zaquan.
Baca Juga: MFL Tolak Penetapan Gaji Siling