Pengagihan Tiket Tanggungjawab PAFA, PBNST
- Piala Malaysia
- Oct 26, 2018
- No comment
Malaysia Football League (MFL) menegaskan cara ataupun kaedah pengagihan tiket perlawanan akhir Piala Makaysia 2018 adalah tanggungjawab Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata pihaknya sudah mengagihkan kesemua 30,000 tiket masing masing untuk PBSNT dan PAFA. Terpulang kepada mereka untuk membuat pengagihan dan menjualnya mengikut cara mereka.
“Pengagihan tiket untuk dijual kepada penyokong terletak di bawah bidang kuasa persatuan tetapi kami tetap mempunyai tanggungjawab untuk memantau kaedah jualan yang dilakukan oleh mereka.
“Persatuan negeri ada cara tersendiri untuk melakukan pengagihan kerana mungkin ada yang dijual mengikut daerah atau apa apa cara yang dirasakan sesuai.
“Apa yang mustahak adalah semua 30,000 tiket yang diperuntukkan itu sampai kepada penyokong kedua-dua pasukan dan mereka yang mendapat tiket boleh memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing pada aksi final Sabtu ini,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Semalam, sebahagian besar peminat Perak dan Terengganu FC meluahkan kekecewaan mereka gara-gara gagal untuk mendapatkan tiket dan kecewa dengan cara agihan yang dilakukan.
Kevin menambah, situasi tiket tidak mencukupi sudah pasti berlaku kerana adanya permintaan yang tinggi daripada penyokong kedua-dua pasukan.
“Kita sendiri boleh lihat jumlah penduduk bagi negeri yang layak ke final, jadi 30,000 tiket yang diperuntukkan sememangnya tidak dapat menampung permintaan tinggi daripada penyokong.
“Dalam hal ini, tidak kiralah sistem jualan apa yang digunakan sekalipun, sudah tentu akan ada penyokong yang tidak berjaya mendapatkan tiket kerana permintaan melebihi penawaran,” tambah Kevin.
Apa yang pasti, tiada lagi isu tiket tidak mencukupi pada perlawanan akhir yang akan datang. Persatuan bola sepak negeri perlu lebih telus dalam menjual tiket bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti ada peminat yang pengsan di stadium semalam ketika berebut mahukan tiket perlawanan akhir.
Untuk makluman, tiket perlawanan akhir sudah habis terjual dan tiada tiket tambahan akan dijual dimana-mana kaunter stadium ataupuun di tempat lain pada hari ini ataupun esok.
Baca Juga: Kemana Hilangnya Tiket Perlawanan Akhir ?