Pengajaran Selepas Menonton Dua Perlawanan Bola Sepak Di Jerman!
- Luar Negara
- Dec 21, 2018
- No comment
Selesai saja perkerjaan saya di Düsseldorf, Jerman saya mengambil peluang untuk menonton perlawanan UEFA Champions League antara Borussia Dortmund menentang Club Brugge di SIGNAL-IDUNA Park yang terletak di Dortmund pada 28 November 2018.
Manakala saya turut ambil peluang untuk menonton perlawanan Bundesliga antara Fortuna Düsseldorf menentang Mainz pada 30 Disember 2018. Saya melaburkan €32.50 (RM160) untuk menonton perlawanan UCL manakala untuk tiket Bundesliga, saya membayar kira kira €22 (RM108).
Berikut adalah beberapa pemerhatian saya yang saya rasa boleh kelab bolasepak mahupun penyokong-penyokong bolasepak Malaysia terapkan dalam bolasepak tempatan sendiri.
1. TIKET BERCETAK BOLEH TERUS DIGUNAKAN TANPA PERLU MENEBUSNYA
Saya membeli tiket 2 hari sebelum perlawanan, kerana seperti saya lalui di Piala AFF Suzuki, saya perlu mencetak tiket dan menebus tiket selewat-lewatnya sebelum jam 7 petang hari perlawanan.
Rupa tiket Borussia Dortmund yang boleh digunakan terus tanpa perlu melakukan sebarang penebusan di stadium.
Kerisauan saya itu dimudahkan, apabila rupanya tiket tersebut boleh terus digunakan tanpa perlu buat penebusan. Sistem sebegini sudah 10 tahun digunakan di sini tanpa banyak masalah.
Mereka juga akan menunjukkan nombor tempat duduk anda, di kawasan mana dan perlu masuk melalui pintu yang mana dan sebagainya. Polis dan juga Marshal akan membantu anda tanpa sebarang masalah.
2. PENGANGKUTAN AWAM PERCUMA PADA HARI PERLAWANAN
Saya tinggal di hotel yang terletak di bandaraya Duisburg, Jerman kira-kria 60km daripada Dortmund, saya masih pening memikirkan bagaimana caranya untuk ke Dortmund kerana untuk perjalanan lebih dari 50km, sudah tentu harganya mencanak, paling tidak memakan lebih kurang €30 untuk perjalanan pergi dan balik.
Namun ketika di stesen, saya pergi ke kaunter untuk bertanyakan bagaimana untuk membeli tiket keretapi terus ke SIGNAL-IDUNA Park, pantas sahaja staf tersebut menjawab:
“Anda segera ke platform 12, dalam 10 minit lagi ada keretapi khas terus ke SIGNAL-IDUNA Park, PERCUMA!”
Saya sempat rasa ‘WOAHH’ untuk beberapa saat sebelum segera ke platform yang staf tadi sebutkan. Baru saya tahu yang syarikat keretapi bagi negeri Nordrhein-Westfalen pun memberikan keretapi khas dari Duisburg yang hanya akan berhenti di 4 stesen keretapi utama sebelum sampai di SIGNAL Iduna Park.
Berikut adalah lokasi empat buah stesen U-Bahn serta sebuah stesen S-Bahn.
Mereka di sini mudah, ada 2 stesen keretapi berbeza, iaitu U-Bahn “Stadion” dan S-Bahn “SIGNAL-Iduna Park” hanya 300 meter dari stadium.
Namun dalam radius 1km dari stadium, terdapat 3 buah lagi stesen U-Bahn iaitu “Theodor-Fliedner-Heim”, “Remydamm” & “Westfallenhallen-U”, menyebabkan kurang kesesakan berbanding kebergantungan terhadap satu stesen keretapi/LRT.
3. SEMANGAT MENCINTAI KELAB YANG TINGGI!
Saya mendapat tahu lebih kurang 6000 penyokong pasukan pelawat turut serta datang dari Brugge. Sejauh lebih kurang 3 jam 45 minit pemanduan, rata-rata saya melihat mereka memandu kereta sejauh 326 km, bermakna sudah ada yang bercuti untuk dua hari semata-mata untuk pergi ke Dortmund, Jerman.
Stadium penuh, tidak kira pasukan ada berada dalam keadaan apapun! Kalah atau menang, perkara kedua!
Ini adalah perkara yang biasa di Eropah, memandu kereta atau menggunakan kereta api untuk ke stadium pasukan lawan sejauh 300km atau 400km. Mereka akan memulakan perjalanan seawal pagi dan akan sampai di stadium lawan lebih kurang 2 jam sebelum perlawanan.
Untuk pasukan-pasukan Bundesliga Jerman, peratusan kedatangan ke stadium memang akan mencecah 99% saban tahun, ini adalah perkara yang tidak asing dengan tiket yang turut diberikan pengangkutan awam percuma. Segalanya mudah jika anda penyokong tuan rumah.
4. PENGURUSAN KELAB MELAKUKAN SEGALA-GALANYA DARI SEGI KOMERSIL!
Jika di Malaysia, yang menguruskan tiket adalah pihak lain, yang menjual makanan pihak lain, yang uruskan khemah penaja mungkin pihak lain namun di sini, semuanya diuruskan oleh kelab sendiri.
Gerai-gerai makanan dan jualan yang diuruskan sendiri oleh pengurusan kelab.
Di MERKUR-SPIEL Arena (stadium bagi Fortuna Düsseldorf), segala-galanya dibuat oleh pengurusan kelab. Beberapa gerai minuman dan makanan yang disediakan turut mempunyai gerai makanan halal yang menjual Döner (kebab Turki).
Selain itu juga, di setiap penjuru halaman stadium, kakitangan fanshop akan turut membuka gerai kecil yang menjual barangan rasmi kelab seperti mafla, topi, jersi dan lain-lain.
Penjuru stadium yang menyediakan gerai jualan makanan dan minuman serta barangan cenderahati kelab.
KESIMPULAN
Peluang untuk menonton bolasepak di Jerman adalah satu peluang terbaik untuk melihat bagaimana bolasepak berfungsi di sana sebagai sukan nombor satu di Malaysia.
Ini hanya sedikit ilmu yang saya belajar dari pemerhatian sendiri untuk perkongsian bersama seluruh rakyat Malaysia. Jika anda berpeluang untuk ke Jerman, anda turut belajar sesuatu dari pemerhatian anda.
Nota: Artikel ini ditulis oleh Saudara Sofwan Zulkepli. Jika anda mempunyai artikel yang mahu dikongsikan, hubungi kami melalui media sosial Inikan Bola.
Baca Juga: Tips Dari Sami Hyppia Untuk Jadi Pertahanan Terbaik