Pengguguran Perlis Tidak Jejas Liga Malaysia – PAFA
- Liga Perdana
- Feb 22, 2019
- No comment
Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menegaskan pengguguran pasukan Perlis tidak akan menjejaskan kerancakan Liga Malaysia dan juga tumpuan peminat bola sepak tempatan.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi Lembaga Pengarahnya mengambil keputusan untuk membatalkan penyertaan pasukan Perlis dalam saingan Liga Perdana setelah pengurusan pasukan itu mengalami masalah kewangan yang serius.
Setiausaha Kehormat PAFA, Tajul Hasnan Omar, MFL di bawah pimpinan Tunku Ismail Sultan Ibrahim sedang dalam usaha untuk terus membantu dan meningkatkan profesionalisme setiap pasukan Liga Malaysia.
“PAFA percaya MFL yang diterajui pengerusinya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sedang dalam usaha untuk terus membantu dan meningkatkan profesionalisme setiap pasukan Liga Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Mengulas mengenai pengguguran pasukan Perlis, PAFA selaku rakan kongsi badan pengelola Liga Malaysia itu menyokong penuh keputusan tersebut memandangkan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) telah diberikan peluang untuk mengatasi masalah kewangan yang dihadapi.
“PAFA sedia maklum bahawa ia keputusan yang sukar diambil oleh ahli lembaga pengarah MFL, namun PAFA percaya keputusan yang mewakili suara 23 pasukan Liga Malaysia ini dibuat demi kepentingan pemain dan Liga Malaysia itu sendiri,” katanya.
Pada 20 Februari lalu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam menjelaskan penyertaan Perlis dalam kancah Liga Malaysia dibatalkan serta-merta kerana tidak memiliki jaminan kewangan yang kukuh untuk mengharungi saingan musim ini.
Beliau turut menegaskan MFL sudah memberikan bantuan dan ruang secukupnya kepada PFA, namun badan induk itu gagal untuk mencari jalan penyelesaian.
Setelah digugurkan, semalam Kevin menyatakan pihaknya memberikan tempoh 7 hari untuk PFA menghantar rayuan kepada MFL.
“Kami memberikan tempoh 7 hari kepada PFA walaupun kebiasaannya adalah 14 hari tempoh rayuan bagi urusan pentadbiran tetapi memandangkan ia satu kes serius, kami memberikan tujuh hari sahaja.
“Wakil PFA datang hari ini untuk lebih memahami apa yang dipertimbangkan dalam keputusan itu dan saya membuat penerangan yang mana mereka akan mengadakan mesyuarat bersama Exco PFA bagi mendapatkan tindakan susulan selepas mendapat penjelasan ini daripada MFL.
“Buat masa ini, MFL berharap apa-apa perancangan mereka di masa depan akan berjaya dan pemain akan mendapat pasukan baharu selepas MFL turut membuka ruang untuk mereka mendaftar bagi tempoh 30 hari,” kata Kevin
Baca Juga: MFL Beri Tempoh 7 Hari Kepada PFA