Penyokong Indonesia Perlu Dididik!

Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Kerana bendera terbalik, satu rumpun boleh cacamerba dibuatnya! Itulah situasi yang melanda landskap bola sepak Indonesia dan Malaysia saat ini. Emosi Penyokong Indonesia seakan-akan meletup bagaikan gunung merapi yang memuntahkan laharnya dek kerana seorang remaja dari Malaysia tersilap memilih bendera dalam “Insta Story” beliau.

Bermacam-macam usaha yang dilakukan oleh penyokong Garuda untuk melampiaskan kemarahan mereka terutamanya di media sosial. Ada yang mahu menghalau. Ada yang mahu Amirul Ashrafiq tidak dibenarkan masuk ke Indonesia. Dan yang paliang dahsyat lagi, ada yang nak BUNUH Amirul ni! OH Tuhanku!

Semalam, isu ini memasuki episode baru ketika Malaysia bawah 16 tahun menentang pasukan Thailand bawah 16 tahun, penyokong tuan rumah hadir menyaksikan perlawanan tersebut dan mereka melaungkan “chanting” yang berbunyi “Malaysia itu anj*ng” dan “Amirul itu anj*ng”.

Sehubungan itu, sebentar tadi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menghantar surat bantahan kepada AFF dan AFC berhubung tindakan melampau penyokong tuan rumah itu.

Kita sedia maklum ini bukan kali pertama keselamatan pasukan negara diancam ketika beraksi di Indonesia. Sejak zaman Safee Sali muda dulu hinggalah beliau sudah berumur 34 tahun, setiap kali Malaysia beraksi di bumi Indonesia, sudah pasti akan ada insiden panas yang berlaku.

Perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2010, perlawanan akhir Sukan SEA 2011, perlawanan separuh akhir AFF Bawah 19 tahun dan insiden semalam merupakan peristiwa dimana pemain skuad kebangsaan diserang.

Yang menjadi pertanyaan ialah sampai bila perkara ini akan berlaku ? Bukan sekali atau dua kali malah berkali-kali keselamatan pemain Malaysia terancam. Tidak serikkah anda setelah FIFA menggantung bola sepak anda selama dua tahun sebelum ini ? Apa yang anda peroleh dengan menyerang pemain Malaysia ? Kepuasan ? Kemahsyuran ?

Benar Amirul melakukan kesilapan dengan menggunakan bendera Poland berbanding bendera Indonesia. Akan tetapi, anak muda ini telah meminta maaf di atas kesilapan beliau. Tapi anda seolah-olah tidak mahu menerima permohonan maaf anak muda ini dan terus-menerus menyerang pemain ini ?

Manusia tidak luput dari membuat kesiapan. Sepatutnya anda menerima permohonan maaf Amirul dan melupakan perkara ini. Lagipun, Amirul hanyalah budak belasan tahun. Adakah anda ketika berusia belasan tahun tidak pernah membuat sebarang kesilapan ? JANGAN NAK MEMBOHONG!

Penulis berpendapat Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) perlu mendidik penyokong Indonesia agar mereka menikmati sukan bola sepak itu dan tidak menjadikannya sebagai satu meda melampiaskan kemarahan. Takkanlah mereka mahu berdiam diri dengan perangan yang tidak profesional dan juga tidak bertamadun seperti ini ?

Jika perkara ini dibiarkan, bukan saja pemain Malaysia malah pemain dari negara lain turut merasakan keselamatan mereka terancam. Sudah-sudahlah tu Mas Joko. Bola sepak untuk dinikmati. Bukan untuk menebar benci.

Baca Juga: FAM Tidak Boleh Bertoleransi Lagi!

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *