Penyokong Perlis Minta Presiden Letak Jawatan

Permasalahan yang dihadapi oleh pasukan Perlis akhirnya menemui titik noktah apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membatalkan penyertaan mereka dalam saingan Liga Perdana. Perkara ini nyata membangkitkan kemarahan penyokong Perlis dan mendesak presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie untuk meletakkan jawatan.

Bagi penyokong Perlis, Ahmad Amizal telah memalukan bola sepak negeri itu dengan pelbagai isu yang timbul seperti tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan sejak beliau mengambil alih. Belum lagi janji-janji manis yang ditabur oleh beliau sebelumnya.

Semalam, MFL memutuskan untuk membatalkan penyertaan pasukan Perlis dalam saingan Liga Perdana musim ini selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL mendapati pasukan itu itu tidak memiliki struktur kewangan kukuh untuk terus bertahan musim ini.

“Selepas mengambil kira segala aspek, Ahli Lembaga Pengarah sebulat suara membatalkan penyertaan Perlis dalam Liga Perdana musim ini.

“Faktor utama keputusan pembatalan Perlis disebabkan kegagalan mereka mengatasi masalah kewangan serta tidak mempunyai perancangan kewangan meyakinkan untuk terus bertahan.

“Selain kes Perlis, MFL turut mengkaji enam lagi pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji tetapi buat masa ini kami mengumumkan dahulu keputusan Perlis kerana ia adalah kes lebih berat dan mendapat perhatian ramai pihak,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam.

Tambah Kevin, pihaknya turut prihatin dengan nasib yang menima pemain Perlis dan MFL telah memberikan melanjutkan tempoh pendaftaran pemain-pemain Perlis selama 30 hari bermula hari ini bagi memberikan ruang kepada mereka mencari pasukan baharu.

“MFL sudah memberikan bantuan dan ruang secukupnya untuk Perlis mengatasi masalah kewangan mereka dan akhirnya satu keputusan perlu dibuat bagi memastikan ia tidak memberi kesan lebih buruk kepada pemain-pemain dan Liga Malaysia itu sendiri.

“Dengan keputusan pembatalan penyertaan Perlis, kami prihatin dengan kemelut yang bakal dihadapi pemain Perlis. Justeru itu, Ahli Lembaga Pengarah MFL juga bersetuju untuk melanjutkan tempoh pendaftaran pemain-pemain Perlis selama 30 hari bermula hari ini (semalam) bagi memberikan ruang kepada mereka mencari pasukan baharu memandangkan tempoh pendaftaran pemain akan ditutup pada jam 11.59 malam ini (semalam),” tambahnya.

Baca Juga: PFA Serahkan Nasib Kepada MFL

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *