Perak Bergelut Tanpa Kelibat Gilmar

Pasukan Perak nyata bergelut tanpa kelibat Gilmar Da Silva di bahagian serangan apabila mereka tewas kepada pasukan Terengganu FC dengan keputusan 2-1 semalam. Barisan seranga Perak dilihat tumpul dengan kurangnya percubaan ke kubu pasukan lawan.

Dengan ketiadaan Gilmar, jurulatih Perak, Mehmet Durakovic meletakkan Wander Luiz dan Nasir Basharudin di bahagian serangan. Kami berpendapat dua pemain ini gagal membentuk satu gandingan yang baik di bahagian serangan pasukan.

Ketiadaan Gilmar sebagai Target Man menyukarkan lagi usaha Perak untuk menembusi benteng Terengganu FC. Tiada pemain yang boleh ditujukan apabila ada pemain Perak mahu membuat hantaran lintang. Pemain Perak banyak memegang bola dan seterusnya hilang penguasaan.

Bagi pasukan Terengganu FC pula, kembalinya ketua pasukan, Kipre Tchetche nyata memberi inspirasi kepada rakan sepasukan yang lain untuk beraksi dengan baik. Terengganu berjaya mendominasi perlawanan dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu pasukan Perak.

Selain melancarkan serangan, benteng pertahanan Terengganu juga tenang mengawal asakan daripada barisan serangan Perak.

Dengan kemenangan pada semalam, Terengganu FC kini menduduki tangga keempat dan berada dua mata di belakang pasukan Perak. Mereka berkongsi mata yang sama dengan pasukan Pahang iaitu 18 mata setelah Pahang tewas kepada pasukan Kedah.

Bagi anak-anak buah Mehmet Durakovic pula, kekalahan mereka ini akan membuatkan pendahulu Liga, Johor Darul Ta’zim semakin selesa jika mereka berjaya menewaskan Negeri Sembilan malam ini. Jika JDT mengutip tiga mata penuh, maka Perak akan ketinggalan lapan mata daripada pasukan JDT.

Banyak yang perlu diperbaiki oleh Mehmet Durakovic bagi memastikan mereka bangkit pada perlawanan seterusnya. Mehmet perlu memperkemaskan jentera serangan pasukan agar mereka lebih tajam pada perlawanan akan datang.

Bagi pasukan bimbingan Irfan Bakti pula, mereka perlu mengekalkan prestasi semasa bagi memastikan mereka berada dalam kelomok tiga pasukan teratas dalam carta Liga.

Apa pendapat anda mengenai tewasnya pasukan Perak di tangan Terengganu FC ? Adakah tiadanya kelibat Gilmar Da Silva menjadi punca kekalahan mereka ?

Baca Juga: Dalam Senyap Perak Mendaki

Leave a comment

Your email address will not be published.