Perak Tidak Boleh Keciciran Mata
- Piala Malaysia
- Aug 25, 2018
- No comment
Naib juara Liga Super musim 2018, Perak tidak boleh keciciran mata sekiranya mereka mahu mencerahkan peluang untuk mara ke peringkat suku akhir dalam saingan Piala Malaysia edisi 2018. Malam ini, mereka akan menerima kunjungan pasukan Kuala Lumpur di Stadium Batu Kawan.
Perak mencatat kemenangan pertama dalam saingan peringkat kumpulan A apabila menewaskan The City Boys di Stadium KLFA, Cheras minggu lalu. Pada dua perlawanan sebelumnya, Perak hanya mampu seri dengan pasukan Felcra FC dan tewas kepada Terengganu FC.
Ketua jurulatih pasukan, Mehmet Durakovic mahukan para pemain untuk mengekalkan momentum kemenangan sekaligus mengutip kemenangan kedua malam ini.
“Saya berharap pemain akan mengulangi aksi bertenaga yang sama agar kami dapat meraih mata penuh bagi mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan,” kata Durakovic kepada Berita Harian.
Tambah bekas pengendali Selangor itu, beliau akan menurunkan kesebelasan terbaik bagi memastikan kemampuan pasukan kerana Kuala Lumpur juga bukan calang-calang pasukan dan tidak boleh dipandang mudah.
Perak pada awalnya dilabel sebagai pasukan pilihan untuk memenangi saingan edisi kali ini dan dijangka tidak akan berdepan masalah pada saingan peringkat kumpulan. Namun, Perak tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa merekabadalah pasukan pilihan dan menampilkan aksi yang longlai pada dua perlawanan pertama.
Prestasi hambar pasukan jelas mengundang rasa tidak puas hati peminat kerana sebagai naib juara saingan Liga Super, Perak sepatutnya menampilkan aksi yang lebih mantap.
Bagaimanapun keresahan itu sedikit reda berikutan kejayaan ke atas Kuala Lumpur minggu lalu dan ianya membolehkan Perak mengumpul empat mata dan menduduki tangga kedua dibelakang pasukan Terengganu FC.
Jika berjaya mengutip tiga mata penuh malam ini, maka Perak akan mengukuhkan lagi kedudukan mereka di tangga kedua dan memerlukan satu lagi kemenangan pada perlawanan kelima peringkat kumpulan iaitu berdepan Terengganu FC untuk mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir.
Apa pendapat anda mengenai perlawanan diantara pasukan Perak menentang Kuala Lumpur malam ini? Mampukah The Boss Gaurus mengekalkan rentak kemenangan? Atau The City Boys akan pulang ke Cheras dengan tiga mata penuh?
Baca Juga: 5 Pemain Alternatif Bagi Ronaldinho