Perbualan Di Whatsapp Itu Palsu – Rafdi Rashid

Bekas pemain Kedah, Rafdi Rashid menyatakan perbualan dalam aplikasi WhatsApp yang tersebar di media sosial berhubung adiknya, Akhyar Rashid yang ditawarkan gaji sebanyak RM70,000 jika menyertai Johor Darul Ta’zim musim hadapan adalah palsu.

Dalam perbualan tersebut, selain menyebut mengenai gaji sebesar RM70,000 yang bakal diterima pemain berusia 19 tahun ini, Akhyar dikatakan turut menerima sebuah kereta Toyota C-HR dan Vellfire berserta pembantu peribadi.

“Mereka sudah edit (ubah perbualan), ia bukan WhatsApp saya. Depa (mereka) tular macam-macam lanie (sekarang). Saya pening.

“Saya pun tidak tahu apa motif buat macam ini. Ramai nak tau (ingin tahu) Mat Yat (Akhyar) pergi JDT atau dak (tidak), sebab tu depa buat cerita macam-macam. Saya lanie nak cakap pun payah (susah),” kata Rafdi Rashid menurut laporan Utusan.

Khabar angin mengenai Akhyar akan menyertai juara Liga Super 5 kali berturut-turut ini mula beredar apabila saingan Liga Malaysia menutup tirainya pada bulan lalu. Khabar angin ini makin bertiup kencang setelah beberapa keping gambar beredar di laman media sosial yang menunjukkan Akhyar mengunjungi stadium dan pusat latihan JDT.

Pasukan Kedah sebelum ini melakukan rombakan besar-besaran dari segi pemain apabila mereka tidak mengekalkan khidmat kelima-lima pemain import yang beraksi untuk pasukan musim ini dan melepaskan beberapa pemain tempatan seperti Ariff Farhan Mat Issa.

Apa yang pasti, jika Akhyar mengambil keputusan untuk menyertai Johor Darul Ta’zim musim hadapan, maka keputusan tersebut dilihat sebagai satu keputusan yang tepat kerana JDT bakal beraksi di pentas terbesar bagi kelab di rantau Asia iaitu Asia Champions League musim hadapan.

Selain dapat beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia, Akhyar dapat beraksi di samping pemain terbaik dalam negara seperti Safawi Rasid dan beliau bakal berlatih di fasiliti yang bertaraf dunia.

Ketiga-tiga elemen ini bakal memainkan peranan penting dalam perkembangan karier Akhyar Rashid jika beliau mahu menjadi pemain terbaik negara pada masa akan datang.

Baca Juga: Akhyar Rashid Semakin Hampir Sertai JDT ?

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *