Perjalanan NFDP Bergantung Kepada Dana Kerajaan

Operasi dan perjalanan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) tahun hadapan bergantung sepenuhnya kepada dana yang akan diberikan oleh kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Safirul Azli Abu Bakar berkata meskipun program terbabit tetap akan diteruskan seperti biasa, keputusan akhir mengenai struktur dan pengurusannya dijangka hanya akan dapat diputuskan awal November ini.

“Sebab itulah kita belum putuskan mengenai struktur dan program yang akan dijalankan tahun depan kerana semuanya bergantung pada dana yang akan diputuskan kerajaan.

“Jika kita putuskan sekarang, namun selepas ini kita tidak mendapat dana yang secukupnya, sudah tentu sukar untuk kita menjalankan perancangan sudah disusun. Jadi kami pastikan komitmen daripada segi dana itu dulu barulah kita putuskan selepas ini,

“Apapun, kita akan bersedia dengan pelbagai kemungkinan dan pelan sokongan tetap akan difikirkan sekiranya kita berdepan kekangan kewangan untuk tahun depan,” katanya kepada Berita Harian ketika ditemui pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemantau NFDP di Bukit Jalil, semalam.

Safirul menambah semua pihak menunjukkan kesungguhan untuk bekerjasama bagi memastikan program NFDP ini ditambah baik pada masa hadapan.

“Semua pihak menunjukkan kesungguhan untuk bekerjasama selain turut berkongsi input untuk mencari langkah terbaik supaya program ini dapat ditambah baik.

“Memang sebelum ini kerjasama membabitkan pembangunan akar umbi dengan beberapa pihak itu dilihat kurang kemas atas kekangan yang timbul namun komitmen semua pihak nampak begitu jelas untuk memastikan ia dapat diteruskan,” tambah Safirul.

Setelah kegagalan skuad bawah 16 tahun negara mara ke temasya Piala Dunia Remaja di Peru tahun hadapan, timbul tanda tanya mengenai masa depan program NFDP ini. Apatah lagi selepas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq mendedahkan jumlah gaji yang diterima pengarahnya, Lim Teong Kim dan beliau mengatakan kerajaan tidak boleh menanggung sepenuhnya kos operasi NFDP.

Apa yang pasti, berapapun jumlah yang bakal disuntuk oleh kerajaan, NFDP perlu bijak dalam menguruskan dana tersebut dan perlu mencari cara untuk mencari penaja bagi meningkatkan lagi kualiti program.

Baca Juga: Syed Saddiq Kecewa Dengan AMD

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *